arena

Perak FA bakal dikenali Perak FC [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) mengesahkan nama pasukan Perak FA akan dijenamakan semula sebagai Perak FC selepas proses penswastaan selesai.

Timbalan Presidennya, Dato Adly Shah Ahmad Tah berkata, pihaknya kini sedang menunggu proses perbincangan kerajaan negeri untuk mengekalkan nama 'Perak' yang dijangka selesai dalam masa terdekat.

"Cuma sedikit masalah teknikal yang mana kegunaan nama 'Perak' ini yang sudah diwartakan, ini bermaksud pasukan Perak harus membuat permohonan kepada kerajaan negeri Perak untuk menggunakan nama Perak.

"Kita sudah membuat permohonan kepada kerajaan negeri Perak, setahu saya memang tiada apa-apa masalah, InsyaAllah akan mendapatkan kelulusan dan Perak FA ini akan dijenamakan sebagai Perak FC dalam masa terdekat," katanya selepas menerima Memorandum menyokong usaha penjenamaan semula oleh Gabungan Kelab-Kelab Penyokong Bola Sepak Perak (TBG MOBS) yang diserahkan Ketua Penerangan TBG MOBS, Mohd Jeffry Amin Abdul Hamid di Pejabat PAFA Perak di sini hari ini.

Adly Shah berkata, bahagian pengurusan akan mempunyai sedikit perubahan apabila sudah diswastakan kelak.

Beliau berkata, pihaknya turut berterima kasih kepada Kelab TBG MOBS yang memberi memorandum dalam menyokong usaha Presiden menjenamakan semula skuad seladang itu.

"Terima kasih memberi memorandum menyokong usaha yang akan dibuat Presiden PAFA dan selalu memberi pandangan yang membina kepada persatuan selama ini," katanya.

Sementara itu, Presiden TBG MOBS, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi pula berkata, pihaknya mengalu-mengalukan dan menyokong usaha murni yang akan dibuat oleh Presiden dalam menjenamakan semula nama Perak FA.

"Kami yakin dan percaya nama 'Perak' dapat dikekalkan sinonim dengan apa yang Perak ciptakan sejarah selama ini," katanya.

Sebelum ini Arena Metro melaporkan Saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan boleh dikatakan penuh kejutan dan pembaharuan apabila buat kali pertama dalam sejarah semua pasukan tampil dengan status sebagai kelab bola sepak berbanding sebelum ini yang hanya bernaung di bawah persatuan.

Namun, perkara lebih mencuri tumpuan membabitkan pasukan Liga M adalah masing-masing tampil dengan nama baharu, namun tetap mengekalkan identiti negeri masing-masing.

Disiarkan pada: October 5, 2020 @ 6:58pm
d