arena

Kerana golf sanggup rentas 482 kilometer

Oleh Agensi

Los Angeles: Tidak ada manusia di dalam dunia yang sanggup melakukan pengorbanan seperti Francesco Molinari, 37, berpindah bersama isterinya dan dua anak masih bersekolah dari London ke Los Angeles ketika musim pandemik hanya disebabkan sukan golf.

Drama berkenaan tidak terhenti di situ saja apabila minggu ini penantian Molinari selama tujuh bulan tidak menyertai kejohanan golf akan berakhir dengan dia bakal mengharungi pula perjalanan sejauh 482 kilometer untuk mengambil bahagian di Kejohanan BMW PGA.

Ia bakal menyaksikan pemain popular Itali itu melalui padang pasir Nevada untuk beraksi di Las Vegas dengan fikiran yang tenang.

Molinari mencipta sejarah di Piala Ryder dua tahun lalu di Paris apabila menjadi pemain golf Eropah pertama mengumpul lima mata.

Kecemerlangannya di Piala Ryder itu menamatkan musim yang gemilang buatnya apabila sebelum itu memenangi salah satu kejohanan berprestij di Jelajah Eropah di Wentworth, meraih kejuaraan sulung di Amerika Syarikat dan menjadi juara di The Open menumpaskan Tiger Woods serta Rory McIlroy di Carnoustie.

Rakan baiknya, Tommy Fleetwood berkata, Molinari akan kembali semula ke dalam lapangan selepas sudah berhijrah dan memilih untuk menetap di Amerika Syarikat.

"Mereka sudah pun berhijrah ke Amerika Syarikat dan dari situ dia boleh memulakan membina semula prestasi. Dia sudah tetapkan di mana dia akan mula beraksi.

"Saya rasa semua orang gembira melihatnya kembali dan sebelum ini dia hanya memikirkan apa yang perlu diberi perhatian terlebih dulu, apa yang keluarganya mahukan. Dia akan kembali.

"Dalam sukan golf, ia sama seperti kehidupan, anda harus melalui rintangan yang hebat. Dia adalah pemain golf terbaik di planet ini. Saya rasa semua orang meletakkan harapan kepadanya dan ada pemain yang mempunyai cita-cita tinggi sama seperti ketika mereka beraksi," kata Fleetwood.

Disiarkan pada: October 6, 2020 @ 2:20pm
d