arena

Miller takut litar basah

Oleh Agensi

Paris: Ducati tidak pernah memenangi Grand Prix (GP) Perancis di Le Mans namun pelumba mereka menamatkan perlumbaan di tempat kedua, ketiga dan keempat musim lalu dan satu-satunya pelumba yang mengalahkan mereka ialah penyandang juara Marc Marquez.

Bagaimanapun, dengan ketiadaan Marquez hujung minggu ini, ia membuka peluang buat pelumba Pramac, Jack Miller mengulangi pencapaian musim lalu apabila berjaya berada dalam kalangan trio Ducati dalam memberi saingan di kelompok depan.

Miller terlepas kedudukan podium walaupun pada awal saingan berjaya memintas Marquez dan dia menamatkan saingan dengan dibezakan 2.9 saat dengan pelumba Honda itu.

Dia yang berada di kedudukan keenam keseluruhan selepas menduduki tempat kelima di Catalunya pada aksi sebelum ini hanya dibezakan sembilan mata dengan pelumba terbaik Ducati setakat ini, Andrea Dovizioso

"Saya sangat menyukai Litar Le Mans. Saya pernah muncul juara (Moto3) di sini, saya juga berjaya memberikan tunggangan pantas tahun lalu dan berjaya memberi sedikit tentangan kepada Marc.

"Ia adalah tempat di mana saya mampu beraksi dengan baik dan saya bersedia untuk kembali ke sana sekali lagi," kata Miller.

Bagaimanapun, kerisauan utama Miller tahun ini adalah cuaca sejuk dan litar basah.

"Kami memantau ramalan cuaca di Le Mans (ketika hujung minggu di Barcelona). Ia akan hujan dan suhu 12 darjah selsius. Jadi saya tidak berapa berminat untuk ke sana tapi ia hanyalah disebabkan cuaca," kata Miller.

Disiarkan pada: October 6, 2020 @ 2:51pm
d