arena

Proses FC sepenuhnya ambil masa

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Bolehkah individu yang sama menerajui Persatuan bola sepak (FA) turut berperanan sebagai ahli lembaga atau pemilik kelab bola sepak (FC) selepas proses penswastaan?

Situasi terbabit dilihat berlaku hampir separuh daripada pasukan Liga Malaysia iaitu membabitkan lapan kelab yang dilihat masih lagi membawa masuk individu daripada persatuan sebagai pemilik atau ahli lembaga mereka.

Antara pasukan yang berbuat demikian adalah tiga daripada Liga Super, Bos Gaurus FC, Selangor FC, Pahang FC manakala selebihnya membabitkan Liga Premier iaitu Kelantan FC, Sarawak FC, Pulau Pinang FC, Kelantan United FC dan Kuala Lumpur FC.

Mengikut garis panduan penswastaan yang ditetapkan sebelum ini, FA seharusnya dipisahkan daripada FC merangkumi pengurusan dan pentadbiran termasuklah diterajui oleh individu yang berbeza.

Namun maklumat yang diperoleh menerusi penerangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam mendapati lapan pasukan terbabit masih lagi diterajui atau mempunyai kaitan dengan individu sama dalam persatuan negeri masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional FAM Mohd Firdaus Mohamed mengakui perkara terbabit agak sukar untuk memisahkan FA daripada FC termasuklah membabitkan individu berkenaan yang mempunyai jawatan dalam persatuan bola sepak negeri.

"Sebenarnya permulaan penswastaan ini agak susah untuk pisahkan daripada FA kerana memerlukan masa. Jadinya individu berkenaan mengambil langkah pertama seperti itu untuk ke arah penswastaan.

"Mungkin dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi ada perubahan dalam struktur kelab kerana dalam masa terdekat ini susah untuk cari individu seperti Zam (Norizam Tukiman) di Kelantan," katanya, di sini.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan saingan Liga M musim depan boleh dikatakan penuh dengan kejutan dan pembaharuan apabila buat pertama kali dalam sejarah semua pasukan tampil dengan status sebagai kelab bola sepak berbanding sebelum ini yang hanya bernaung dibawah persatuan.

Sementara itu, Firdaus berkata, individu sama menerajui FA dan FC tidak akan kekal lama dan FAM akan berusaha membantu pihak terbabit untuk memastikan kelab sepenuhnya dimiliki oleh pihak lain yang berminat menguruskan pasukan itu.

"Saya percaya untuk tahun akan, persatuan negeri akan cuba swastakan kelab kepada individu yang berminat menerajui pasukan," katanya.

Disiarkan pada: October 6, 2020 @ 9:39pm
d