arena

Ujian sulung De Boer

Oleh AFP

Amsterdam: Frank de Boer akan memulakan tugasnya sebagai jurulatih Belanda awal pagi esok, dengan harapan dapat meneruskan kebangkitan selepas pengendali terdahulu, Ronald Koeman meninggalkan pasukan untuk ke Barcelona.

Pasukan bimbingan De Boer akan berdepan Mexico esok dalam aksi persahabatan sebelum dua perlawanan Liga Negara-Negara UEFA berdepan Itali dan Bosnia & Herzegovina menyebabkan beliau bakal berdepan cabaran awal dalam tugas baru yang sangat menakutkan.

Koeman sudah meletakkan dasar buat De Boer, untuk menghidupkan kembali pasukan 'Oranje' yang dilihat lemah dan menerapkan corak permainan lebih meyakinkan agar bola sepak Belanda kembali pada era zaman kegemilangannya.

Selepas gagal layak ke Euro 2016 dan Piala Dunia di Russia dua tahun lalu, Belanda mula dipandang kembali oleh pasukan lawan, ia disebabkan sentuhan Koeman dan pemain berbakat seperti Virgil van Dijk dan Stefan De Vrij di bahagian pertahanan, produk Ajax, Donny van de Beek dan Frenkie de Jong, serta penyerang, Memphis Depay.

Mereka dijangka mara lebih jauh di Euro 2020 sebelum kejohanan itu ditunda tahun depan akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, De Boer berkata, dia tidak akan mengambil jalan mudah dengan peniru corak jurulatih terdahulu.

"Saya tidak akan menjadi Koeman 2.0. Saya mempunyai cara saya sendiri," kata bekas pemain antarabangsa Belanda itu.

Prestasi De Boer sejak kebelakangan ini dilihat kurang meyakinkan.

Beliau baru saja dipecat pasukan Liga Utama Amerika Syarikat, Atalanta United, nasib yang sama menimpanya ketika bersama Crystal Palace dan Inter Milan.

Bagaimanapun, reputasinya yang gagal mendapat kejayaan di peringkat antarabangsa mula mendapat perhatian, apabila laporan media Belanda menyatakan beberapa pemain senior dalam skuad berkenaan mahukan khidmat Louis van Gaal atau Henk ten Cate, yang sudah lima tahun berkhidmat di timur tengah.

"Ia tidak benar. Persekutuan sebenarnya sudah menanyakan pendapat beberapa pemain dan tidak ada sebarang undi tidak percaya kepada De Boer," kata ketua pasukan, Van Dijk.

Disiarkan pada: October 7, 2020 @ 9:12am
d