arena

Martinez sedia meledak, Messi lupakan drama

Oleh Agensi

Beunos Aires: Lautaro Martinez dijangka akan memimpin bahagia serangan Argentina menjelang aksi kelayakan Piala Dunia bertemu Ecuador Jumaat ini.

Menurut portal Argentina, Ole, penyerang sensasi Inter Milan berusia 23 tahun itu akan berada di tengah-tengah bahagian serangan sambil kiri dan kanannya akan dibantu oleh Lionel Messi dan pemain Sevilla, Lucas Ocampos.

Martinez berjaya bermula dengan cemerlang pada saingan musim 2020/21 Serie A apabila meledak tiga gol dan juga melakukan satu hantaran menghasilkan jaringan buat rakan sepasukannya di Nerazzurri.

Martinez sudah melakukan 17 penampilan dalam semua kejohanan bersama Argentina dan dia dijangka tidak berdepan masalah untuk meneruskan sentuhan jaringannya.

Sepanjang beraksi bersama Albiceleste, dia sudah menghasilkan sembilan gol.

Argentina dan Ecuador akan berentap pagi Jumaat ini di Stadium Boca Juniors' La Bombanera.

Sementara itu, Messi akan berehat daripada drama berpanjangan bersama Barcelona ketika dia cuba membantu Argentina ke Piala Dunia di Qatar yang mungkin peluang terakhirnya menjulang trofi paling berprestij di dunia itu.

"Satu-satunya sasaran saya ialah menang Piala Dunia bersama pasukan kebangsaan," katanya.

Paling hampir dia melakukannya setakat ini ialah kalah pada final di tangan Jerman pada 2014.

Dia akan berusia 35 tahun ketika Piala Dunia Qatar berakhir dan akan berumur 39 tahun pada saingan seterusnya di Amerika Utara.

Disiarkan pada: October 7, 2020 @ 2:27pm
d