arena

Loew kecewa prestasi Jerman

Oleh AFP

Cologne: Jurulatih Jerman, Joachim Loew kecewa dengan kegagalan skuad bimbingannya mempertahankan kedudukan pendahulu selepas jaringan menyamaan lewat permainan lawan menyaksikan mereka sekadar seri 3-3 ketika bertemu Turki pada perlawanan persahabatan hari ini.

Kenan Karaman mencetak gol penyamaan untuk Turki yang bangkit sebanyak tiga kali sekali gus menyaksikan raut kecewa di wajah Loew.

"Saya sangat kecewa. Kami sering berdepan masalah ini dan ia berlaku pada perlawanan lain," kata jurulatih Jerman itu kepada RTL.

Keputusan seri itu adalah yang ketiga untuk Jerman sepanjang tiga perlawanan dan kali ketiga juga mereka gagal melakar kemenangan selepas mendahului lawan.

"Kami perlu mengadakan perbincangan untuk menjadi lebih baik. Mentaliti pemain juga perlu diperbaiki," kata Loew.

Dengan bintang Real Madrid, Toni Kroos dan beberapa pemain Bayern Munich direhatkan, Loew membariskan pasukan kurang berpengalaman di depan 300 penonton di Cologne.

Pemain tengah Borussia Moenchengladbach, Florian Neuhaus melakukan penampilan pertama di pentas antarabangsa manakala Julian Draxler menggalas tugas kapten menggantikan Manuel Neuer.

Draxler menjaringkan gol pertama Jerman pada masa tambahan babak pertama sebelum Ozan Tufan menyamakan kedudukan untuk Turki minit ke-49.

Florian Neuhaus kembali meletakkan Jerman di depan minit ke-58 namun sekali lagi Turki berjaya menyamakan kedudukan menerusi Efecan Karaca minit ke-67.

Jaringan Luca Waldschmidt minit ke-81 menghidupkan kembali peluang Jerman untuk melakar kemenangan namun Karaman menjadi pemusnah apabila menyamakan kedudukan minit ke-4 masa kecederaan.

Disiarkan pada: October 8, 2020 @ 7:59am
d