arena

Janji Super KIP

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Menyedari masa sudah kian suntuk, pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi berjanji akan memberikan aksi terbaik menjelang Grand Prix (GP) Perancis hujung minggu ini.

Baki enam pusingan perlumbaan termasuk GP Perancis boleh dianggap sebagai talian hayat buat Petronas Sprinta Racing (SRT) yang berdepan risiko untuk disingkirkan musim depan.

Menurut Khairul Idham, ia sangat penting buatnya untuk mempertingkatkan catatan masa dan mengharapkan perubahan jenteranya mampu untuk membantunya mempamerkan prestasi terbaik.

"Litar Le Mans adalah salah satu daripada trek yang menjadi kegemaran saya. Ia mempunyai laluan lurus dan saya sangat menyukainya," katanya dalam satu kenyataan.

Dia yang masih belum mengumpul sebarang mata dalam saingan Moto3 musim ini, bersedia untuk memberi tentangan kepada pelumba lain.

"Cuaca dilihat sukar untuk diramal, jadi kami harus cepat menyesuaikan diri bagi membolehkan semuanya berjalan lancar jika cuaca tidak menentu.

"Keputusan pada perlumbaan sebelum ini bukan seperti apa yang saya mahukan, jadi saya harap aksi hujung minggu ini saya mampu menunjukkan peningkatan dan menamatkan perlumbaan dengan keputusan lebih baik," katanya yang menduduki tempat ke-24 GP Catalan hujung bulan lalu.

Kelmarin, Prinsipal pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali berkata baki enam pusingan perlumbaan termasuk Grand Prix (GP) Perancis hujung minggu ini boleh dianggap sebagai talian hayat untuk Khairul Idham.

Beliau berkata, sebelum ini peluang dan ruang sudah diberikan sepenuhnya kepada Khairul Idham, namun pelumba yang mendapat gelaran Super KIP itu masih mempamerkan prestasi mendatar dan gagal mengutip sebarang mata.

Disiarkan pada: October 8, 2020 @ 3:11pm
d