arena

Felda United kekal fokus

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Di sebalik isu penarikan Felda United FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan, pemain tengah kelab itu, Danial Amier Norhisham kekal fokus berdepan Selangor, Sabtu ini.

Justeru, Danial Amier atau Boy dan rakan sepasukan berazam menamatkan perlawanan terakhir Liga Super dengan mengutip tiga mata untuk memastikan The Fighters kekal dalam saingan liga itu musim 2021.

"Memang saya akui emosi sedikit terganggu mengenai isu penarikan Felda United tetapi perjuangan sebenar kami belum lagi selesai dan perlu menamatkan liga berdepan Selangor.

"Oleh itu, kami perlu menang ke atas Selangor untuk mengelak Felda United tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

"Biarpun peluang itu dilihat sukar kerana turut mengharapkan Sabah tewas kepada UiTM FC, kami tetap menjalani latihan seperti biasa dan kekal fokus dengan misi mencatat kemenangan.

"Bagi saya, dalam bola sepak apa-apa boleh berlaku dan peluang kami masih lagi terbuka dan mengharapkan rezeki berpihak kepada Felda United," katanya.

Ditanya peluang menewaskan Selangor Sabtu ini, Danial Amier berkata, tiada yang mustahil untuk menewaskan Red Giants biarpun pasukan itu mencatat kemenangan besar 7-0 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) minggu lalu.

Katanya, keputusan itu tidak menghalang misi untuk mengecewakan Selangor kerana berdasarkan rekod musim lalu The Fighters mampu mengejutkan lawan.

"Dengan sokongan dan komitmen semua pemain, kami akan berjuang berhabis-habisan," kata pemain berumur 23 tahun itu.

Disiarkan pada: October 8, 2020 @ 5:58pm
d