arena

TFC II lakukan rombakan bertemu juara Liga Perdana

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Terengganu FC II (TFC II) melakukan rombakan selepas empat pemain utamanya terpaksa disisihkan apabila turun bertemu juara Liga Perdana musim ini, Pulau Pinang pada aksi terakhir liga di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, esok.

Tiga pemain iaitu kapten yang juga penyerang utamanya, Bruno Suzuki, pemain pertahanan, Che Mohamad Arif Che Kamarudin dan pemain tengah, Takhiyuddin Roslan mengalami kecederaan manakala Zuasyraf Zulkiefle digantung satu perlawanan kerana menerima tiga kad kuning.

Ketiadaan empat pemain berkenaan sudah pasti merencatkan perancangan jurulatih skuad The Turtles itu, Roshadi Wahab yang berhasrat mahu melebur rekod tanpa kalah skuad Harimau Kumbang itu.

"Suzuki mengalami kecederaan hamstring apabila bertembung penjaga gol Kelantan United, Mohamad Arif pula cedera bahagian kepala dan terpaksa menerima jahitan ketika bertemu Sarawak United minggu lalu manakala Takhiyuddin cedera pada bahagian buku lali.

"Ketiadaan empat pemain berkenaan sedikit sebanyak sudah pasti mengganggu strategi pasukan untuk menewaskan pendahulu Liga Perdana itu.

"Jadi kita tiada pilihan lain kecuali melakukan rombakan pemain untuk mengimbangi kekuatan pasukan lawan yang sudah pasti hadir dengan misi untuk mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini," katanya.

Ketika ditanya adakah pemain pertahanan Terengganu FC (TFC), Babacar Diallo bakal memperkuatkan pasukannya selepas pemain itu sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan, Roshadi tidak menolak kemungkinan pemain dari Senegal itu bakal disenaraikan pada aksi terakhir liga.

"Diallo mungkin bermain pada perlawanan malam esok walaupun pemain itu belum cergas 100 peratus, tapi khidmatnya diperlukan terutama untuk menghalang bola tinggi ketika situasi 'set-piece'.

"Seorang lagi pemain TFC iaitu Darren Lok juga bakal bermain dengan pasukan kita. Dia akan bergandingan dengan penyerang import, Jordan Mintah untuk memburu jaringan," kata Roshadi yang bakal menerapkan formasi 4-4-2.

Disiarkan pada: October 8, 2020 @ 6:12pm
d