arena

KRM sarankan hentikan semua aktiviti

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) menyarankan agar semua ahli gabungan menangguhkan sementara semua aktiviti berkaitan sukan berkenaan disebabkan peningkatan jumlah kes Covid-19.

Menurut Naib Presiden KRM, Fahmy Jalil, keputusan itu dibuat berdasarkan peningkatan jumlah kes dan merujuk kepada surat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang bertarikh 7 Oktober lalu.

"KRM dengan ini mengesyorkan penangguhan sementara semua aktiviti sukan kepada semua ahli gabungan kesatuan atau persatuan ragbi negeri bagi mengelakkan gelombang kedua wabak Covid - 19," katanya.

Ujar Fahmy, saranan penangguhan adalah bersifat sementara bagi membolehkan usaha memutuskan rantaian dan penularan wabak berkenaan. "Saya berharap usaha ini dapat dilakukan dengan berkesan dan seterusnya memastikan keselamatan dan kebajikan komuniti ragbi dalam keadaan terpelihara.

"KRM berharap ahli gabungan dapat memberikan perhatian terhadap langkah - langkah pencegahan dan keselamatan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

KBS sebelum ini membuatkan keputusan menangguhkan sambutan Hari Sukan Negara (HSN 2020) yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 10 Oktober ini ke satu tarikh bersesuaian kelak.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, sambutan HSN 2020 di peringkat negeri, kementerian dan agensi kerajaan juga disaran mengambil langkah sama.

Beliau berkata, semua penggiat sukan juga diingatkan agar sentiasa menjaga diri, kekal sihat dan aktif mengikut garis panduan prosedur operasi standard (SOP) MKN, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), KBS dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 8, 2020 @ 7:08pm
    d