arena

Kejohanan buat atlet olahraga

Kuala Lumpur: Selepas sekian lama menanti atlet olahraga negara berpeluang untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo tahun depan apabila Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Bukit Jalil bakal diadakan dari 11 hingga 13 Disember depan.

Menurut ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abd Jalil tiada sebarang sasaran khusus diletakkan ke atas mana-mana atlet memandangkan ia adalah kejohanan pertama mereka selepas lapan bulan tanpa sebarang aksi kompetitif disebabkan Covid-19.

"Selain itu, kita juga tidak tahu bagaimana persaingan dalam kejohanan itu nanti kerana sudah lama tidak ada pertandingan. Kita tidak boleh nilai atlet kita dan juga atlet luar negara," katanya.

Ujar Manshahar beliau percaya semua jurulatih akan buat persiapan yang terbaik dan mengharapkan atlet memberikan yang terbaik dalam kejohanan itu nanti.

"Sekarang ini atlet hanya berlatih tetapi ia tidak boleh menjadi kayu pengukur untuk menilai prestasi sebenar mereka kerana tiada sebarang kejohanan disertai.

"Apabila sudah beraksi dalam kejohanan itu nanti, barulah jurulatih boleh menilai kelemahan dan kekuatan atlet untuk kita perbaiki bagi menghadapi kejohanan seterusnya," katanya.

Kelayakan untuk ke Sukan Olimpik bagi sukan olahraga akan bermula pada 1 Disember hingga 29 Jun 2021.

Tambahnya, sebelum beraksi dalam Terbuka Malaysia, atlet negara akan menyertai satu kejohanan dalaman yang dijadual berlangsung pada 7 November depan.

Katanya, kejohanan membabitkan atlet negara dan beberapa atlet Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) selain atlet dari sekitar Lembah Klang itu akan menjadi aksi pemanas badan sebelum menyertai kejohanan sebenar.

"Kita mengharapkan kejohanan dalaman ini dapat diteruskan tetapi tetap bergantung kepada situasi semasa berhubung kes Covid-19. Ini akan menjadi platform untuk kita menilai perkembangan latihan mereka selama ini

Disiarkan pada: October 8, 2020 @ 7:38pm
d