arena

Ahli gabungan MGF gesa EGM

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) Rachel Lau meminta 'pengkritik' mengemukakan penjelasan dan perincian mengenai usul hilang kepercayaan sekali gus menyingkirkannya dari jawatan disandang.

Rachel meminta tujuh dari 11 ahli gabungan yang menyatakan pendirian hilang kepercayaan terhadap beliau untuk mengemukakan bukti mendakwa bekas gimnas kebangsaan itu menyalah guna kuasa serta gagal menguruskan MGF dengan baik dan berkesan.

Katanya, tidak ada peruntukan 'usul hilang kepercayaan' dalam perlembagaan MGF.

Tujuh ahli gabungan berkenaan adalah Pulau Pinang, Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Sarawak, Melaka dan Terengganu.

"Saya mungkin tidak mampu menggembirakan hati mereka yang mempunyai agenda tersembunyi. Saya adalah presiden kedua selepas (Datuk Jaya Al Bakri), yang menerima usul tidak percaya daripada ahli gabungan dalam tempoh dua tahun.

"Adakah ini semata-mata persoalan kompetensi presiden atau ada motif atau agenda tersembunyi lain? Saya tidak akan menghentikan usaha saya untuk mempromosikan urus tadbir dan akauntabiliti yang lebih baik mengenai urusan dan transaksi kewangan masa lalu dan sekarang membabitkan MGF," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dua hari lepas, Bernama melaporkan tujuh ahli gabungan yang menyatakan usul hilang kepercayaan terhadap Rachel, menyerahkan surat ditandatangani perwakilan negeri kepada Setiausaha Kehormat MGF Afrita Ariany Nasril, bagi menggesa diadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) secepat mungkin.

Rachel dilantik sebagai presiden MGF penggal 2019-2021 pada Februari tahun lepas apabila menang tanpa bertanding selepas Jaya tidak mempertahankan jawatannya.

Sementara itu, Rachel mendakwa barisan exco lama dan baharu mendapati berlaku penyelewengan dan salah laku perakaunan pada 2014 hingga 2016 yang telah dilaporkan kepada Kementerian Belia dan Sukan, Pesuruhjaya Sukan dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

"Kami memanggil juru audit luar dan meminta siasatan dibuat mengenai perkara itu. Kebetulan pula ketika penyelewengan ini disiasat, usul undi tidak percaya pula timbul.

"Saya berharap pemecatan saya tidak ada kaitan dengan usaha untuk memperkukuhkan pentadbiran dan tanggungjawab dalam urusan kewangan MGF," katanya.

Disiarkan pada: October 8, 2020 @ 7:50pm
d