arena

Diniz di Eddersheim FC perlukan dana

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: "Impian abang nak menang Ballon d'Or...abang nak menang anugerah itu nanti."

Itu cita-cita yang diluahkan pemain muda negara, Muhammad Diniz Irwan ketika berusia 10 tahun lalu dan kini impiannya itu semakin menjadi kenyataan apabila dia ditawarkan untuk beraksi dengan kelab Jerman, Eddersheim FC.

Diniz, 19, yang sudah merekodkan lima gol dalam 245 minit permainan dalam tiga penampilan bersama pasukan ketiga Eddersheim FC yang baharu memulakan liga pada bulan lalu.

Impak segera yang diperagakan tonggak tengah itu nyata memikat perhatian barisan kejurulatihan pasukan kedua kelab, yang bersedia menyenaraikan namanya sebelum boleh mengetuk pintu skuad utama yang beraksi dalam divisyen lima Jerman itu.

Jelas bapanya, Irwan Adnan, anak sulung daripada empat adik beradik itu memiliki potensi besar untuk diketengahkan di peringkat yang lebih tinggi.

Malah, berdasarkan nasihat dan pandangan jurulatih serta pakar bola sepak tempatan dan luar negara, Diniz mempunyai keistimewaan dan kebolehan yang setanding dengan pemain luar negara.

Bagaimanapun, kekangan kewangan mungkin menjadi halangan buat Diniz untuk terus kekal di Eropah di mana pemain kelahiran Kajang itu memerlukan sokongan pelbagai pihak.

"Saya dan isteri tak pernah putus beri sokongan kepadanya termasuk menghabiskan ribuan ringgit untuk dia mengejar cita-citanya."

"Tapi kos perbelanjaan dia di sana bukan murah. Yuran pembelajarannya sebulan hampir RM5,000 dan kos sara hidup juga RM5,000.

"Diniz memerlukan sekurang-kurangnya RM120,000 untuk dia kekal bertahan di sana hingga tahun depan dan kalau ada bantuan mana-mana pihak saya amat alu-alukan."

"Saya yakin anak saya miliki potensi dan bakat, insya-Allah suatu hari nanti dia dapat harumkan nama negara dan membantu bola sepak kita," katanya ketika ditemui Arena Metro, di sini, semalam.

Untuk rekod, Diniz mendapat pendedahan awal di Akademi Bola Sepak Tunas Legenda dari tahun 2012-2016, sebelum dipilih untuk mewakili salah sebuah akademi bola sepak negara seperti Frenz United dan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Dia juga pernah terpilih berlatih di Cardiff City di England dan juga sebulan di Valencia, Sepanyol selain pernah memenangi pertandingan bakat bola sepak Million Dollar Feet pada 2017.

Pada musim lalu, Diniz beraksi bersama Selangor United di Liga Belia B-19 dan seterusnya diserapkan ke pasukan utama untuk Piala Cabaran serta turut pernah dipanggil oleh pasukan kebangsaan B-19 kendalian Brad Maloney tahun lalu.

Mac lalu, Diniz ditawarkan untuk menyertai Eddersheim FC dan ia dianggap peluang keemasan buatnya membuka langkah di Eropah.

Disiarkan pada: October 8, 2020 @ 8:55pm
d