arena

Neymar belum pasti beraksi

Oleh AFP

Sao Paulo: Brazil akan memberi ruang kepada pemain bintangnya, Neymar untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan belakang bagi membolehkannya diturunkan apabila bertemu Bolivia pada kempen kelayakan Piala Dunia.

Juara Copa America itu akan memulakan kempen kelayakan untuk Qatar 2022 di Sao Paulo esok namun mungkin tanpa penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu.

"Ia berkaitan masalah kesihatan dan belum pulih sepenuhnya," kata jurulatih Tite.

Kecederaan belakang yang dialami pemain berusia 28 tahun itu berlaku sebelum sesi latihan.

"Dia semakin baik hari ini berbanding semalam. Kami akan melihat perkembangannya esok," kata doktor pasukan, Rodrigo Lasmar.

Jika Neymar tidak dapat diturunkan pada pertemuan dengan Bolivia, Tite berkata beliau akan menggantikannya dengan pemain Flamengo, Everton Ribeiro.

Faktor kecederaan memaksa Neymar gagal diturunkan pada hampir keseluruhan perlawanan bersama pasukan kebangsaan tahun lalu.

Dia hanya beraksi empat daripada 16 perlawanan dan mengalami kecederaan daripada dua perlawanan itu, iaitu ketika bertemu Qatar, Jun dan Nigeria pada Oktober.

Disiarkan pada: October 9, 2020 @ 8:28am
d