arena

Ibrahimovic positif Covid-19 lagi

Oleh AFP

Rome: Zlatan Ibrahimovic mungkin akan terlepas beraksi perlawanan seteru setempat bulan ini selepas kelabnya, AC Milan mengumumkan bintang veteran Sweden itu sekali lagi positif Covid-19.

Ibrahimovic yang menjalani tempoh kuarantin dua minggu lalu selepas disahkan positif kali pertama, perlu memperoleh keputusan negatif sebanyak dua kali sebelum boleh kembali bersama pasukan yang akan bertemu Inter di San Siro 17 Oktober ini.

Pertahanan Brazil, Leo Duarte yang didapati negatif pada ujian terakhir, turut meneruskan proses kuarantin. Barisan kesemua pemain adalah negatif, kata kelab itu.

Seteru setempat, Inter juga berdepan kes positif Covid-19 dengan kelab itu mengumumkan pemain tengah, Radja Nainggolan dan Roberto Gagliardini didapati positif.

Dua kes itu dikesan sehari selepas pertahanan Slovakia, Milan Skriniar dan pemain bawah 21 tahun Itali, Alessandro Bastoni kembali ke kelab dengan status positif selepas menyertai skuad kebangsaan masing-masing.

Kali pertama Ibrahimovic didapati positif adalah pada 24 September dan dia menerusi akaun Twitter miliknya berkata: "Covid mempunyai keberanian mencabar saya. Idea yang buruk."

Pemain berusia 39 tahun itu sejak itu memuat naik video di media sosial sedang menjalani latihan di rumah.

Ibrahimovic melanjutkan kontrak bersama Milan selama setahun selepas beraksi sepanjang enam bulan musim lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 9, 2020 @ 8:54am
    d