arena

Azam mahu sekat pemain Tok Gajah

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Selepas diberi watak penting buat kali pertama musim ini mengemudi jentera pertahanan kanan pasukan ketika bertemu Felda United minggu lalu, pemain muda meningkat naik Terengganu FC (TFC), Muhammad Azam Azmi Murad sekali lagi mahu buktikan dia sudah bersedia untuk mengisi posisi itu.

Pemain skuad Bawah-19 (B-19) tahun negara itu juga berazam mahu membalas kepercayaan barisan jurulatih yang diketuai Nafuzi Zain jika sekali lagi disenaraikan dalam kesebelasan utama bertemu Pahang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Ahad ini.

Bekas murid Sekolah Kebangsaan Tok Jembal, Kuala Nerus itu juga memasang impian untuk merantai barisan penyerang skuad Tok Gajah walaupun sedar dirinya masih mentah daripada segi pengalaman bagi memastikan pasukannya mengakhiri liga dengan kemenangan.

"Sudah tentu saya begitu gembira disenaraikan dalam kesebelasan utama buat kali pertama musim ini ketika menentang Felda United, lebih-lebih lagi pasukan berjaya merakam kemenangan 3-0 ke atas skuad The Fighters itu.

"Selain itu ianya menjadi pengalaman berharga buat saya beraksi dalam liga utama Liga Malaysia (Liga M) kerana ianya dapat mematangkan lagi corak permainan untuk beraksi lebih baik.

"Jadi jika sekali lagi diturunkan Ahad ini, saya tekad untuk menyekat barisan penyerang lawan daripada bergerak bebas dalam kawasan penalti selain mahu pastikan pintu gol tidak dibolosi lawan kerana sasaran kita untuk mengakhiri liga di tangga ketiga," kata pemain yang membantu Terengganu muncul juara Piala Belia musim lalu.

Malah kecederaan pertahanan kanan, Muhammad Hafizal Alias membuka pintu buat pemain berusia 19 tahun itu mengisi posisi berkenaan dan aksinya ketika mengekang asakan pemain lawan pada perlawanan minggu lalu tidak mengecewakan.

Jika prestasi diambil kira, pemain yang pernah meledak tiga gol buat pasukan negara ketika beraksi dalam pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Kemboja tahun lalu, sudah tentu dia menjadi pilihan jurulatih untuk mengisi posisi berkenaan.

Azam dijangka bergandingan dengan pemain kelahiran Montenegro, Argzim Redzovic, Nasrullah Hanif Johan dan Arif Fadzilah Abu Bakar di barisan pertahanan.

Disiarkan pada: October 9, 2020 @ 5:38pm
d