arena

Liga hoki remaja dibatalkan

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Penganjuran Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2020 yang sepatutnya berlangsung tahun ini terpaksa dibatalkan selepas melihat kepada situasi penularan wabak Covid-19 di Malaysia yang menunjukkan peningkatan membimbangkan.

Keputusan itu dibuat selepas satu perbincangan diadakan bersama Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Zainal Abas, selain mengambil kira pandangan serta panduan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh, memutuskan untuk membatalkan kejohanan yang membabitkan pemain hoki berusia 19 tahun itu demi kesihatan dan kebaikan pelbagai pihak.

"Memandangkan situasi penularan wabak Covid-19 di Malaysia semakin meningkat, saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan MHC bersama ahli jawatankuasa yang lain mengambil keputusan untuk membatalkan Kejohanan MJHL 2020.

"Kejohanan ini membabitkan kebanyakan pemain hoki yang masih bersekolah jadi saya berfikir membatalkan penganjuran adalah yang terbaik untuk ketika ini demi keselamatan dan kebaikan pelbagai pihak," jelas Anil.

MHC dalam pada itu akan terus bergerak seiring dengan saranan diberikan kerajaan termasuk, KKM serta MKN dalam memastikan keselamatan semua pihak selain usaha untuk memutuskan penularan pandemik Covid-19 yang kini membimbangkan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 9, 2020 @ 6:25pm
    d