arena

Aouar mahu pulih reputasi Lyon

Oleh Agensi

Paris: Pemain tengah, Houssem Aouar tetap gembira kerana masih kekal beraksi di Lyon bagi kempen 2020-21.

Ketika minggu akhir jendela perpindahan musim panas, pemain berusia 22 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan utama ke Arsenal.

Bagaimanapun, Gunners gagal memenuhi permohonan Lyon sebanyak £54 juta (RM289 juta) dan menyebabkan urusan perjanjian berkenaan gagal dimeterai pada minggu lalu.

Tanpa rasa kesal kerana gagal menyertai kelab Liga Perdana Inggeris itu, Aouar yakin kesetiaannya pada kelab itu dan mendedahkan keinginan untuk membantu mereka mencapai keputusan lebih baik pada kempen Ligue 1.

Bercakap kepada pemberita ketika tugasan antarabangsa bersama Perancis perancang tengah itu berkata: "Sudah pasti pelbagai persoalan timbul. Namun saya mahu mengharungi musim yang hebat bersama kelab saya dan merampas kembali mata yang tercicir.

"Semestinya kami akan cuba melakukan aksi terbaik musim ini dan meletakkan kelab kembali di tempat yang sepatutnya, dalam kelompok pasukan teratas di Perancis.

"Kecewa? Saya tidak ambil kisah. Saya berada di rumah, bersama kelab yang saya sayang, bersama rakan-rakan dan keluarga.

Jadi pastinya saya berasa selesa dan ia memberikan saya motivasi tinggi untuk musim yang baik dan mengembalikan kelab ini di kedudukan teratas di Perancis."

Aouar melakukan penampilan pertama bersama skuad kebangsaan pada Rabu ketika Les Bleus membelasah Ukraine di Paris.

Disiarkan pada: October 9, 2020 @ 8:46pm
d