arena

Suarez menangis dibuang Barca

Oleh Agensi

Madrid: Luis Suarez berkata dia menangis dengan cara layanan yang diberikan oleh Barcelona sebelum meninggalkan kelab itu untuk menyertai Atletico Madrid.

Penyerang Uruguay menamatkan ikatan enam tahun di Barca pada September lalu dan memberitahu dia sudah dihentikan daripada berlatih dengan pasukan utama sebelum meninggalkan kelab itu.

"Hari yang begitu sukar. Saya menangis kerana terpaksa melalui perkara ini," kata Suarez, 33.

"Saya sangat kecewa dengan apa yang mereka lakukan."

Suarez menyertai Barcelona dari Liverpool sekitar £74 juta (RM397 juta) pada 2014 dan menjadi antara penjaring terbanyak sejarah kelab gergasi Sepanyol itu dengan 198 gol, menang empat kejuaraan La Liga, empat Piala Domestik dan Liga Juara-Juara 2015 sepanjang tempoh itu.

Dia meledak 21 gol pada 2019-20 iaitu antara jaring terendahnya sepanjang tempoh enam tahun - dan selepas tidak terbabit dalam perlawanan pra musim Barca, dia masih mempunyai baki satu tahun kontrak di kelab itu.

"Tiada sebarang pesanan daripada kelab bahawa mereka cuba mencari penyelesaian terbaik buat saya" tambah Suarez, yang menjaringkan dua gol dalam tiga perlawanan buat Atletico.

"Tidak semua orang tahu apa yang berlaku tetapi perkara paling teruk adalah ketika latihan dan diletakkan dalam kumpulan lain daripada orang lain selepas hanya dibenarkan bermain dalam perlawanan latihan.

"Isteri saya melihat bagaimana sedihnya saya dan dia mahu saya kembali gembira. Peluang hadir apabila ditawarkan menyertai Atletico malah saya tidak meraguinya."

Disiarkan pada: October 9, 2020 @ 11:03pm
d