arena

Harimau Kumbang ubat duka musim lalu

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Kekecewaan pasukan Pulau Pinang gagal melangkah ke saingan Liga Super musim lalu berikutan dipotong enam mata kerana masalah tunggakan gaji bekas pemain importnya terubat apabila bakal beraksi dalam saingan liga utama musim depan selepas muncul juara Liga Perdana.

Hal ini diakui ketua jurulatihnya, Manzoor Azwira Abd Wahid yang menjelaskan anak buahnya layak beraksi dalam saingan Liga Super selepas memperagakan aksi konsisten sepanjang musim ini walaupun saingan dilangsungkan separuh liga berikutan wabak pandemik Covid-19.

"Syukur Alhamdulillah saya boleh katakan ada hikmah apabila kita lihat semula keadaan yang berlaku pada tahun lalu, saya rasa kemanisan dan kegembiraan terubat bukan setakat pasukan, tapi seluruh penyokong Harimau Kumbang dan rakyat Pulau Pinang harus berbangga dengan kejayaan yang dikecapi.

"Secara peribadi saya juga ada kenangan dan sejarah yang boleh dikenang bersama pasukan ini ketika bergelar pemain apabila membantu pasukan muncul juara Liga Perdana pada 2008 dan kini sebagai jurulatih kejayaan kembali berulang.

"Tapi kejayaan ini tidak datang bergolek, ia hasil kerja keras semua pemain dan sokongan padu daripada pihak pengurusan membolehkan kita berjaya merangkul kejuaraan liga dan layak ke Liga Super musim depan," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan bertemu Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang berkesudahan pasukannya tewas 0-1 hasil jaringan penyerang lawan, Jordan Mintah semalam.

Ditanya adakah kejayaan muncul juara sedikit terencat selepas rekod tanpa kalah lebur di tangan skuad The Turtles itu, Manzoor menjelaskan kekalahan itu tidak begitu menghampakannya kerana pasukan sudah bergelar juara liga lebih awal.

"Sebenarnya saya sudah berikan pesanan kepada pemain sebelum perlawanan kerana kita sudah menjadi juara Liga Perdana dan layak ke Liga Super musim depan kerana itu adalah sasaran kita yang sebenarnya.

"Jadi kekalahan pada aksi terakhir itu sebenarnya tidak begitu menghampakan kerana kita sudah merekod kemenangan dalam 20 perlawanan terdahulu iaitu bermula dari tahun lalu lagi," katanya.

Disiarkan pada: October 10, 2020 @ 12:44pm
d