arena

Tuck azam bantu Da Sylva

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Perancang Terengganu FC (TFC), Lee Tuck berazam sedaya upaya membantu penyerang, Dominique Da Sylva meledak gol bagi memastikan impian pemain itu untuk merangkul Kasut Emas musim ini tercapai.

Kapten skuad Penyu itu juga akan memberi umpanan yang berkualiti kepada pemain kelahiran Mauritania itu untuk menyudahkan peluang dengan jaringan gol.

"Sebagai rakan sepasukan sudah tentu kami mahukan Dominique muncul penjaring terbanyak liga, bagi saya sebagai perancang menjaringkan gol tidak penting kerana tumpuan saya adalah membuat hantaran kepada penyerang.

"Tapi dia perlu lebih fokus dalam permainan selain bantuan daripada rakan sepasukan mencipta peluang, saya pasti dia mampu menjaringkan gol," katanya.

Ketika ditanya peluang pasukannya untuk mengakhiri liga dengan kemenangan, pemain berdarah campuran Malaysia-England itu mempunyai keyakinan berdasarkan prestasi dalam dua aksi terakhir liga termasuk membenam cabaran Felda United 3-0 minggu lalu.

"Matlamat kami ingin menang di tempat sendiri dan tamatkan liga di kedudukan paling tinggi dapat capai. Kami ada peluang untuk lakukannya dan dapatkan tiga mata, cuma kami perlu terus bermain seperti biasa secara sepasukan dan fokus untuk merakam kemenangan bertemu Pahang," katanya.

Setakat ini, Da Sylva ketinggalan dua jaringan di belakang penyerang Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi yang mendahului carta penjaring terbanyak liga.

Disiarkan pada: October 10, 2020 @ 7:54pm
d