arena

Jerman tamatkan kemarau kemenangan

Oleh AFP

Kiev: Jerman melakar kemenangan pertama pada saingan peringkat kumpulan Liga Negara-Negara selepas menewaskan Ukraine 2-1 sekali gus menamatkan tiga keputusan seri.

Namun ketua jurulatih, Joachim Loew mengakui anak buahnya sepatutnya meraih kemenangan lebih besar.

Pemain pertahanan, Matthias Ginter meletakkan Jerman di depan pada separuh masa pertama di Kiev sebelum Leon Goretzka memanfaatkan peluang kesilapan dilakukan penjaga gol Ukraine dengan Ruslan Malinovskyi menyempurnakan sepakan penalti lewat permainan untuk gol tunggal tuan rumah.

Loew berpuas hati dengan kemenangan di tempat lawan namun mengakui barisan pemainnya sepatutnya mampu menjaringkan tiga atau empat gol lagi.

Loew memberi contoh penalti disempurnakan berpunca daripada kesilapan mudah Niklas Suele, tidak sepatutnya berlaku.

"Kita membenarkan Ukraine menjaringkan gol. Dalam kata lain, kita mudah memberikan bola kepada pihak lawan," kata Loew.

Selepas seri dengan Sepanyol dan Switzerland sebelum diikat oleh Turki 3-3 pada perlawanan persahabatan, kemenangan itu membantu Jerman naik di tangga kedua di belakang Sepanyol.

Bagaimanapun Jerman dijangka berdepan tugas getir bertemu Switzerland di Cologne, Selasa ini dan seharusnya menjaringkan lebih banyak gol ketika bertemu Ukraine selepas menguasai 75 peratus perlawanan.

"Adalah amat penting untuk mencatatkan kemenangan tetapi kami tidak mengambil peluang terhidang untuk menjadikan keputusan 3-0. Ia bukanlah prestasi terbaik pasukan," kata Ginter.

Disiarkan pada: October 11, 2020 @ 7:31am
d