arena

Kim terus unggul, Kelly Tan merosot

Oleh AFP

New York: Pemain Korea Selatan, Kim Sei-young yang sedang memburu kejuaraan utama buat kali pertama, mencatat tiga bawah par 67 untuk mengukuhkan kedudukan pendahulu dengan tambahan kelebihan dua pukulan selepas berakhir pusingan ketiga PGA Championship wanita.

Bintang berusia 27 tahun dari Seoul itu secara keseluruhan mencatat tujuh bawah par 203 selepas 54 lubang di Aronimink dekat Newtown Square, Pennsylvania.

Kim membenam enam birdie tetapi turut terkesan apabila melakukan tiga bogey sekali gus terlepas untuk meraih penamat lebih baik.

Pemain Sweden, Anna Nordqvist dan wakil Kanada, Brooke Henderson berkongsi kedudukan kedua dengan catatan keseluruhan lima bawah par 205.

"Di lubang ke-10 saya melakukan bogey tetapi berjaya bangkit semula dan sangat gembira dapat menamatkan pusingan ketiga dengan keputusan yang baik.

"Bogey pada lubang ke-18 juga amat mengecewakan.

"Saya agak gementar tetapi teruja untuk turun beraksi pada hari terakhir. Saya hanya mahu melakukan setiap pukulan dengan baik, terus kekal fokus dan keputusan yang baik pasti hadir selepas itu," kata Kim.

Sensasi negara, Kelly Tan pula menamatkan pusingan ketiga dengan catatan dua atas par 72 untuk catatan keseluruhan par 210.

Catatannya itu menyaksikannya berkongsi kedudukan ke-11 bersama empat pemain lain.

Kelly hanya dapat membenam dua birdie dan melakukan empat bogey.

Pencapaian Kelly agak merosot selepas berkongsi pendahulu hari pertama dan kemudian berkongsi kedudukan keenam selepas berakhir pusingan kedua.

Disiarkan pada: October 11, 2020 @ 10:33am
d