arena

Iga Swiatek mahu setaraf Nadal

Oleh AFP

Paris: Iga Swiatek menganggap kejayaannya memenangi Terbuka Perancis adalah 'pengalaman yang mengubah hidupnya' selain berkata cabaran terbesarnya mahu kekal konsisten seperti idolanya, Rafael Nadal yang memenangi 12 gelaran Roland Garros.

Iga, 19, muncul pemain pertama Poland yang memenangi Grand Slam acara perseorangan selepas menewaskan juara Terbuka Australia, Sofia Kenin 6-4, 6-1 pada aksi final semalam.

Dia memadam rekod rakan senegara, Jadwiga Jedrzejowska – pemain terbaik Poland ketika era perang dunia - yang menamatkan saingan di kedudukan kedua di Roland Garros pada 1939.

"Ia sesuatu yang agak gila bagi saya kerana selalu menyaksikan Rafael Nadal menjulang trofi pada setiap tahun tetapi kini saya berada di tempat yang sama.

"Saya tidak pernah menjangkakan mampu memenangi trofi ini. Ia sangat menakjubkan dan pengalaman ini mengubah hidup saya," kata Iga.

Iga yang menduduki ranking ke-54, adalah pemain yang menduduki ranking paling rendah memenangi trofi itu yang juga kejuaraan pertamanya.

Dia bakal melonjak di tangga ke-17 selepas muncul pemain wanita termuda yang memenangi Terbuka Perancis sejak Monica Seles melakukannya pada 1992 di usia 18 tahun.

"Saya rasa mampu meraih pencapaian lebih baik selepas ini kerana saya baru berusia 19 tahun. Saya tahu permainan saya belum cukup sempurna.

"Saya mahu terus konsisten kerana faktor inilah yang sering menjadi masalah kepada pemain tenis wanita.

"Sebab itu kita mempunyai banyak pemenang Grand Slam yang baru kerana tidak konsisten seperti Rafa, Roger Federer dan Novak Djokovic," katanya.

Disiarkan pada: October 11, 2020 @ 11:06am
d