arena

Penangan Safawi, FB Portimonense SC kena 'serang'

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Laman rasmi Facebook kelab Portugal, Portimonense SC diserbu ribuan peminat dan netizen tanahair yang teruja melihat aksi bintang bola sepak negara, Safawi Rasid turun berlatih semalam.

Menerusi tujuh keping gambar Safawi menyaksikan status berkenaan meraih 22,000 tanda suka, 920 perkongsian dan 3,400 komen.

Malah, berdasarkan tinjauan status-status lain sebelum kehadiran Safawi di kelab terbabit, status pemain Harimau Malaya itu adalah paling tinggi pernah dicapai oleh kelab itu.

Kelibat Safawi jelas menaikkan bilangan pengikut Portimonense SC di laman sosial yang sebelum ini agak sendu namun kini bertukar meriah apabila netizen dari Malaysia mula 'berkampung' di page rasmi kelab itu.

Melalui ruangan komen, Safawi tidak putus-putus menerima kata-kata semangat dan iringan doa daripada netizen supaya dia berjaya di bumi Eropah.

Seorang pengguna FB, Asraf Roshidi mengucapkan tahniah dan akan terus menyokong karier Safawi.

"Semoga berjaya Pawi..do the best. Terbaik penyokong Malaysia ramai yang support Pawi," tulis Asraf.

Turut memberi kata semangat pemilik akaun Musz Kenjiro yang mengingatkan Safawi terus berusaha.

"Good luck Pawi..Tawakal innahu..Dok tera dok tahu (tak cuba tak tahu)," kata Musz.

Sementara itu, ada juga netizen yang mengusik Safawi dengan memperkenalkan makanan popular Terengganu, kerepok lekor kepada rakan sepasukannya.

"Pawi jangan lupa bagi-bagi kopok leko kat kawan-kawan di sana...pakat-pakat rasa la deh," kata Lukhman Saad.

Terdahulu, Safawi diperkenalkan secara rasmi oleh pengurusan Portimonense SC sebagai pemain terbaharu bagi menguatkan cabaran kelab itu yang beraksi dalam liga utama Portugal.

Safawi, 23, berpindah secara pinjaman selama semusim namun diberi pilihan oleh Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk membeli secara tetap.

Disiarkan pada: October 11, 2020 @ 11:43am
d