arena

KFA tolak peletakan jawatan Muhammad Sanusi [METROTV]

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menolak peletakan jawatan presidennya, Muhammad Sanusi Md Nor yang didapati berjaya dalam mengurus tadbir dan menyelesaikan isu berbangkit persatuan itu.

Timbalan Presiden KFA, Datuk Abdul Rahman Abdullah berkata, keputusan itu diambil selepas pihaknya mengadakan mesyuarat khas pagi ini, bagi membincangkan surat perletakan jawatan Muhammad Sanusi bertarikh 25 September lalu.

Jelasnya, Muhammad Sanusi tidak mempunyai sebab kukuh untuk melepaskan jawatan kerana beliau mampu menyelesaikan masalah besar dalam persatuan yang secara tidak langsung memberi motivasi kepada Kedah.

"Antara sumbangan beliau ialah kemampuannya dalam mengawal selia kewangan semasa KFA dan peruntukan pasukan dengan efisien.

"Ia termasuk berjaya mendapatkan kelulusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi pemisahan dari FA ke FC baru-baru ini dalam masa yang singkat," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai kenyataan Menteri Besar itu sebelum ini akan menghantar surat peletakan jawatan sekali lagi sekiranya surat sebelum ini ditolak, Abdul Rahman berkata, pihaknya akan merayu kepada Muhammad Sanusi agar kekal sebagai Presiden KFA sekurang-sekurangnya sehingga tamat musim ini.

"Bagaimanapun kami berharap beliau dapat terus memimpin KFA sehingga habis penggal pada 2022. Setakat ini kami yakin beliau akan mempertimbangkan jawatan presiden dan jawatankuasa eksekutif KFA belum fikir siapa layak menjadi pengganti presiden.

"Penubuhan Darul Aman FC tidak akan menjejaskan peranan KFA selaku badan induk KFA kerana kita masih memegang pemilikan Darul Aman FC berikutan tidak membenarkan pihak swasta memegang 100 peratus sahamnya," katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata selain Koperasi Anak Kedah Berhad (KAKB) yang mahu memiliki peratusan saham dalam Darul Aman FC, terdapat empat pihak lain berminat, namun tiada keputusan mengenainya dibuat lagi.

"Mengenai logo pasukan, kita sudah membuka pertandingan mencipta logo dan ia boleh ditukar selepas ini sekiranya ada pihak yang mahu membeli saham pasukan," katanya.

Muhammad Sanusi sebelum ini memaklumkan sudah menghantar surat peletakan jawatan beliau sebagai Presiden KFA kerana mahu memberi tumpuan 100 peratus kepada isu-isu lain di Kedah antaranya Covid-19 dan pembangunan negeri.

Disiarkan pada: October 11, 2020 @ 12:53pm
d