arena

Arsenal nampak bodoh pecat maskot

Oleh Agensi

London: Paul Merson berkata Arsenal kelihatan 'bodoh' selepas Mesut Ozil mengemukakan tawaran untuk membayar gaji maskot kelab itu, Gunnersaurus.

Maskot kegemaran penyokong itu terpaksa dihentikan perkhidmatannya minggu lalu dalam usaha kelab untuk menjimatkan kos.

Pengumuman Arsenal itu hadir selepas berjaya mendapatkan pemain tengah Atletico Madrid, Thomas Partey dengan yuran perpindahan bernilai £45 juta (RM242.8 juta).

Malah kelab itu terus membayar gaji Ozil yang tidak berada dalam senarai skuad untuk saingan Liga Europa sebanyak £350,000 (RM1.8 juta) seminggu.

Bagaimanapun bintang Jerman itu mengemukakan tawaran membayar gaji Gunnersaurus untuk mengelakkan individu yang menyarung maskot itu, Jerry Quy kehilangan kerja.

Merson percaya bekas kelabnya itu gagal menangani situasi itu dengan baik.

"Mesut Ozil membuatkan Arsenal kelihatan sangat bodoh apabila bersedia membayar gaji Gunnersaurus untuk mengekalkan tugasnya.

"Tapi membuang maskot hanya menunjukkan betapa sikap mementingkan diri orang yang mengendalikan kelab ketika ini. Anda pasti tidak percaya betapa saya sangat marah dalam isu ini.

"Arsenal sanggup bayar mahal pemain berkelas dunia. Saya rasa pemilik kelab sudah tidak mengetahui mengenainya. Siapa saja yang mengambil keputusan memecat maskot perlu melihat kepada diri mereka sendiri.

"Jerry Quy, individu yang menyarung maskot itu sudah berkhidmat sejak saya beraksi bersama Arsenal. Dia lambang kelab ini. Anak-anak saya membesar bersamanya," katanya.

Disiarkan pada: October 11, 2020 @ 1:26pm
d