arena

Cheng Hoe sedia harungi saingan secara karnival

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Jurulatih skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe bersedia menghadapi sebarang kemungkinan seandainya pasukan Harimau Malaya bermain secara karnival bagi perlawanan kelayakan Piala Dunia FIFA Qatar 2022 dan Piala Asia AFC China 2023.

Katanya, beliau tetap fokus dan teliti menyediakan pasukan mantap untuk mengharungi perlawanan berkenaan walaupun dalam situasi sukar susulan pandemik Covid-19 melanda negara dan dunia ketika ini.

Menurutnya, daripada segi kejurulatihan sememang dilalui dengan situasi agak sukar selepas hampir setahun tidak berlatih bersama dan tiada pertandingan kompetitif di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun beliau memantau tahap persembahan pemain sepanjang saingan Liga Malaysia dan Piala Malaysia selepas ini yang bakal menjadi antara pengukur buatnya untuk menyediakan pasukan terbaik.

"Sementara itu, pasukan tidak menghadapi masalah untuk menyenaraikan Safawi Rasid bagi mengharungi saingan itu kelak kerana yakin pemain berkenaan akan mendapat pelepasan daripada kelabnya.

"Saya tidak bimbang berkenaan prestasinya malah ia bakal lebih efektif dalam menyumbang sesuatu buat pasukan negara. Justeru ketika bersama kelabnya Portimonense SC di Portugal dia pasti berada dalam kelas tersendiri sekali gus menyumbang kepada sentuhan lebih tajam bersama skuad kebangsaan kelak," katanya pada majlis SupaRimau FAM membabitkan Kiddo Kickers di Melaka hari ini.

Apapun, pemain muda seperti Safawi juga akan terus dikenal pasti dan akan terus digilap dalam usaha menyuntik kekuatan pasukan.

Semalam, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Wira Hamidin Mohd Amin menyatakan pasukan Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe, berkemungkinan akan bermain secara karnival bagi perlawanan kelayakan Piala Dunia FIFA Qatar 2022 dan Piala Asia AFC China 2023.

Menurutnya, aksi itu dijangka berlangsung pada Mac dan Mei tahun depan di negara yang dibenarkan seperti di Qatar atau mana-mana negara Emiriah Arab Bersatu (UAE), sekiranya situasi penularan Covid-19 itu berterusan.

Baginya, walaupun tiada sebarang aksi kompetitif di peringkat antarabangsa tahun ini, namun penangguhan itu membolehkan skuad kebangsaan membuat persediaan bagi mengharungi pusingan kelayakan berkenaan.

Skuad Harimau Malaya sepatutnya mengharungi aksi timbal balik pusingan kedua Kumpulan G, dengan bertandang ke UAE pada 8 Oktober sebelum menyambut Vietnam, disusuli aksi bertemu Thailand (17 November).

Bagaimanapun Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), menangguhkan baki aksi kempen terbabit ke tahun depan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 11, 2020 @ 6:51pm
    d