arena

Kejayaan bermakna Nadal di Terbuka Perancis

Oleh AFP

Paris: Rafael Nadal menewaskan Novak Djokovic 6-0, 6-2, 7-5 untuk memenangi kejuaraan Terbuka Perancis buat kali ke-13 dan sekali gus menyamai rekod sepanjang zaman Roger Federer merangkul 20 gelaran Grand Slam dan menyifatkan kejayaan itu sebagai satu daripada kejayaan terbesar dalam sukan.

Bagi pemain nombor satu dunia, Djokovic kekalahan itu menamatkan harapannya untuk merangkul gelaran Grand Slam ke-18 dan menjadi pemain lelaki pertama sejak Rod Laver pada 1969 merangkul kesemua empat gelaran utama sebanyak dua kali.

Nadal, 34, meraih kemenangan ke-100 di Roland Garros dan hanya tewas dua kali sejak penampilan pertamanya pada 2005.

Pemain Sepanyol itu adalah pemain paling berusia muncul juara di Paris sejak Andres Gimeno pada 1972, menang tanpa melepaskan sebarang set.

Dia menamatkan perlawanan hanya dengan melakukan 14 kesalahan berbanding lawan 52.

"Tahniah kepada Novak untuk satu perlawanan yang hebat. Maaf untuk hari ini. Sudah banyak kali kami bermain bersama-sama. Satu hari satu menang, begitulah seterusnya," katanya.

"Selepas semua perkara yang saya lalui dalam karier dengan kecederaan, saya tidak dapat melakukannya tanpa keluarga."

Nadal berkata, dia tidak pernah terfikir untuk menyamai rekod Federer.

"Tahun ini sangat sukar. Menang di sini memberi makna yang besar kepada saya jadi ini bukan soal 20 rekod Roger, bagi saya hari ini hanya kemenangan di Roland Garros," kata Nadal yang tidak menyertai Terbuka Amerika Syarikat kerana krisis kesihatan yang melanda dunia dan hanya bermain dua pertandingan sejak Februari lalu.

Disiarkan pada: October 12, 2020 @ 8:53am
d