arena

TFC tamatkan cabaran di kedudukan ketiga liga

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: "Ini pencapaian luar biasa," Demikian reaksi ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain susulan pasukannya menamatkan saingan Liga Super musim ini di kedudukan ketiga selepas anak buahnya berjaya membenam pasukan jiran, Pahang 2-1 pada aksi terakhir liga di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Gong Badak, malam tadi.

Bekas penyerang skuad Terengganu itu berkata, kejayaan itu adalah di luar jangkaan lebih-lebih lagi pemain terpaksa berehat panjang sebelum ini berikutan negara di landa wabak pandemik Covid-19, tapi pasukan berhak untuk berada di kedudukan itu berdasarkan prestasi mereka bermula awal musim lagi.

Jurulatih muda meningkat naik kelahiran Kelantan itu menjelaskan secara peribadi kejayaan pasukan TFC adalah pencapaian terbaiknya sebagai jurulatih pada tahun pertama dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) itu selepas menjawat jawatan penolong jurulatih kepada Irfan Bakti Abu Salim tahun lalu.

"Secara peribadi, kedudukan ketiga liga adalah pencapaian luar biasa saya sebagai jurulatih muda yang baharu pertama kali membimbing pasukan Liga Super dan pencapaian ini juga boleh saya sifatkan adalah di luar jangkaan jika dibandingkan dengan pasukan lain.

"Ini semua adalah hasil usaha keras pemain sepanjang musim ini, saya gembira dengan mereka, tidak ketinggalan juga sokongan padu daripada pihak pengurusan dan juga peminat setia," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan yang begitu mendebarkan di mana skuad Penyu bangkit meledak dua gol pada setiap babak menerusi jaringan penalti pemain import kelahiran Mauritania, Dominique Da Sylva dan kapten, Lee Tuck selepas ketinggalan pada minit ke-12 hasil jaringan cantik dari jarak 25 meter pemain muda, Nik Muhammad Sharif Mohd Lazim.

Mengulas pertemuan itu, Nafuzi akui kemenangan yang diraih begitu bermakna buat pasukan dan peminat.

"Syukur kemenangan yang sangat bermakna apatah lagi perlawanan yang begitu mencabar dengan tekanan dari pasukan Terengganu yang bermain di tempat sendiri, tapi akhirnya kami dapat mengutip tiga mata berharga sekali gus berjaya menduduki tempat ketiga liga.

"Jika dianalisis kita terlepas beberapa peluang terbaik pada awal permainan dengan pasukan lawan banyak mencipta peluang yang berjaya dinafikan penjaga gol yang bertindak cemerlang, kita lihat lawan lebih berkeyakinan berbanding pasukan kita pada babak pertama, ini kerana pemain kita tidak menunjukkan aksi sebenar mereka berbanding sebelum ini.

"Pada babak kedua saya lakukan perubahan taktikal untuk kita menguasai bahagian tengah dan percaturan saya menjadi, saya sangat berpuas hati dengan kesungguhan yang dipamerkan pemain yang tidak berputus asa. Bagi saya walaupun Pahang ketiadaan pemain import, tapi pemain tempatan mereka mempunyai kualiti, bukan tugas mudah buat pemain kami untuk menyaingi mereka," katanya.

Disiarkan pada: October 12, 2020 @ 12:32pm
d