arena

Destinasi tepat Safawi kembang bakat

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Impian untuk melihat bintang bola sepak negara, Safawi Rasid menyinar di Eropah bukanlah satu misi mustahil dan penghijrahannya di Liga Portugal adalah keputusan yang tepat.

Menurut pengkritik bola sepak negara, Serbegeth Singh, Portugal sememangnya medan terbaik buat mana-mana pemain di dunia mengembangkan bakat mereka sebelum beralih ke kelab lebih besar seperti Real Madrid, Barcelona, Juventus, Bayern Munich mahupun Liverpool.

Katanya, kebanyakan pemain Amerika Latin atau lebih tepat daripada Brazil, Argentina dan Uruguay menjadikan Liga Premier di Portugal sebagai langkah pertama membina tapak di Eropah.

Jelasnya, Safawi akan menempuh fasa sama dan beliau yakin tonggak sayap Harimau Malaya itu mampu mengetuk pintu kelab-kelab terbaik di sana.

"Lazimnya pemain Brazil atau Argentina akan ke Portugal dulu sebelum mencari kelab lain. Mungkin faktor bahasa dan budaya yang tidak jauh beza membuatkan pemain Brazil lebih selesa memulakan karier di Portugal, tetapi sebenarnya Liga Portugal itu sendiri memang berkualiti dan bagus.

"Saya boleh katakan, Liga Portugal adalah liga pembangunan yang sangat sesuai untuk pemain-pemain luar Eropah membina asas kerjaya sebagai pemain profesional.

"Bagi saya, Portugal adalah destinasi tepat buat Safawi dan corak serta gaya permainan Safawi pun tak jauh berbeza dengan permainan pantas dan kemahiran yang amat ditekankan dalam liga di sana.

"Saya percaya Safawi boleh berjaya dan saya takkan terkejut kalau selepas ini ada kelab besar yang mahukan khidmat Safawi," katanya ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Khamis lalu, Safawi diperkenalkan secara rasmi oleh pengurusan Portimonense SC sebagai pemain terbaharu bagi menguatkan cabaran kelab itu yang beraksi dalam liga utama Portugal.

Safawi, 23, berpindah secara pinjaman selama semusim namun diberi pilihan oleh Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk membeli secara tetap.

"Kelebihan utama Safawi adalah kekuatan kaki kirinya. Tak ramai pemain Eropah yang berkaki kiri dan saya ramalkan dia boleh muncul sebagai pemain sayap kaki kiri terbaik dunia selepas ini," katanya.

Antara pemain sayap berkaki kiri persis Safawi adalah bekas pemain kebangsaan Belanda, Arjen Robben yang memiliki larian pantas, kemahiran gelecekan yang baik serta rembatan padu yang tepat ke sasaran.

Disiarkan pada: October 12, 2020 @ 9:27pm
d