arena

'Saham' Aidil Sharin melonjak

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Reputasi dan 'saham' ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak terus melonjak selepas beliau berjaya membawa pasukan Kedah menduduki tangga kedua Liga Super musim ini serta melayakkan skuad Lang Merah ke pentas saingan Piala AFC musim depan.

Menurut sumber terdekat, lima pasukan setakat ini dari Liga Malaysia (Liga M) dikatakan sedang 'memikat' ketua jurulatih Kedah itu bagi mendapatkan khidmatnya untuk perancangan pada musim depan.

"Lima pasukan berkenaan adalah sebuah pasukan dari selatan, dua pasukan Lembah Klang, satu dari utara dan satu dari pantai timur Malaysia.

"Dari semua pasukan berkenaan, satu pasukan dari selatan kini paling serius mahu mendapatkan khidmat jurulatih berusia 43 tahun kelahiran Singapura itu."

"Pasukan berkenaan juga sudah mengeluarkan tawaran paling awal buat Aidil untuk memastikan peluang mendapatkan menjadi kenyataan," katanya.

Semalam media melaporkan jurulatih yang digelar 'Pep Guardiola Singapura' dan membawa Kedah menjuarai Piala FA musim lalu itu mengakui hatinya masih lagi bersama Kedah dan bersedia untuk berunding lebih lanjut dengan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengenai masa depannya.

Namun pada masa yang sama beliau juga bersikap terbuka dengan melihat ada beberapa tawaran pantas yang sedang memburunya terutama dari beberapa pasukan lain ketika ini.

Turut dinyatakan persekitaran organisasi yang baik dan mempunyai visi jelas adalah antara perkara yang penting buatnya dan ini sekali gus mampu membantu perkembangannya sebagai seorang jurulatih muda.

Perbincangan dari 'hati ke hati' antara beliau dan KFA dalam masa terdekat ini bakal memutuskan hala tuju masa depannya untuk terus menyinar dalam Liga M pada musim akan datang.

Disiarkan pada: October 13, 2020 @ 1:13pm
d