arena

Kami seperti satu keluarga- Azmi

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Kapten Pulau Pinang, Mohamad Azmi Muslim mendedahkan elemen kekeluargaan terjalin dalam pasukannya adalah ramuan utama skuad Harimau Kumbang berjaya melakar sejarah muncul juara Liga Perdana musim ini.

Bekas pemain kebangsaan itu juga menjelaskan peranan jurulatih kelahiran Pulau Pinang, Manzoor Azwira Abdul Wahid turut membantu kejayaan pasukan yang bakal beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

Pemain yang pernah menyarung jersi Kedah, ATM, Johor Darul Ta`zim, Felda United, Selangor, PKNS dan Melaka United itu tidak menafikan sokongan padu daripada pihak pengurusan dan peminat setia juga menyuntik semangat pemain untuk menjulang kejuaraan.

"Secara jujur pada awalnya saya tidak menjangka Pulau Pinang mampu merangkul kejuaraan liga pada kali ini. Saya menyertai pasukan hanya untuk membantu, tapi Alhamdulillah rezeki kami apabila sasaran untuk melangkah ke Liga Super tercapai sekali gus menebus kekecewaan gagal ke saingan liga utama itu musim lalu.

"Malah lebih manis kami juga dapat merangkul kejuaraan liga, lagipun kami begitu dahagakan piala. Oleh sebab itu setiap perlawanan kami berikan persembahan 100 peratus termasuk pada aksi terakhir liga bertemu Terengganu FC II (TFC II) walaupun rekod tanpa kalah kami lebur di tangan pasukan itu selepas tewas 1-0.

"Jika diimbas kejayaan ini juga hasil kerja keras semua pemain selain faktor kekeluargaan yang terjalin dalam pasukan serta peranan jurulatih, Manzoor Azwira yang mempunyai 'chemistery' kerana beliau boleh menyatukan pemain senior dengan tenaga muda untuk membentuk pasukan mantap," katanya.

Mengulas lanjut, pertahanan kiri berusia 33 tahun itu mengakui sepanjang kariernya, kemenangan muncul juara bersama negeri kelahirannya adalah detik terindah selepas berkelana sejak 2006.

"Untuk perancangan dalam saingan Piala Malaysia yang dijadualkan bakal bermula 25 Oktober ini, walaupun kami hadir daripada kelompok Liga Perdana, tentangan sengit tetap kami berikan kerana sedar format piala itu musim ini berubah iaitu secara kalah mati dan tidak lagi peringkat kumpulan seperti biasa," katanya.

Disiarkan pada: October 13, 2020 @ 6:42pm
d