arena

Guna wang sendiri beli basikal

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang tidak menafikan wang ringgit memainkan peranan penting untuk seseorang atlet terutama yang sedang meningkat naik pergi ke peringkat lebih tinggi.

Menurutnya, dia juga pernah melalui fasa sama kerana berasal dari keluarga sederhana dan sempat bekerja di kilang memproses ayam untuk tujuan perkembangan karier ketika di peringkat awal.

"Saya tidak pernah meminta duit dari ibu bapa untuk hobi lumba basikal, malah saya bekerja dengan bapa saudara saya di kedainya bagi mengumpul wang bagi membeli barangan basikal," katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Azizulhasni mengakui dia bernasib baik kerana dapat memasuki program pembangunan di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) dan bersekolah di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) serta kariernya dibiayai oleh pihak MSN/Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sehingga sekarang.

"Bercakap soal penajaan, saya juga menghadapi masalah sama di awal karier tapi selepas memahami bagaimana industri sukan di Malaysia ini bergerak, ia memudahkan sedikit sebanyak pergerakan karier saya.

"Sebagai contoh, untuk mendapat penajaan dari pihak swasta, seseorang atlet harus mempunyai keputusan cemerlang terlebih dahulu.

''Jadi pada waktu itu saya berlatih dan berusaha keras sehingga memenangi banyak kejohanan besar dan menempa nama di arena sukan negara dan selepas itu pihak penajaan datang mencari saya," katanya.

Arena Metro sebelum ini melaporkan mengenai pengorbanan Annas Shukhairy Abidin yang berusaha keras agar anaknya, Muhammad Annas Farish Shukhairy dapat menjadi salah seorang pemain tenis terkemuka di dunia.

Annas Shukhairy sanggup mengeluarkan ribuan ringgit setiap minggu selain terpaksa menjual tanah miliknya kerana kekangan kewangan dan dia akan melakukan apa saja yang termampu bagi memastikan anaknya itu berjaya menyumbangkan emas di pentas Asia Tenggara, Sukan Sea selain menjadi pemain Melayu pertama beraksi hingga ke Grand Slam.

"Untuk situasi adik Annas Farish, sudah tentu saya memahaminya situasi kerana ia hampir sama dengan saya suatu ketika dahulu. Apa yang saya boleh kongsikan adalah berharap dia terus berusaha keras dan membuat nama di peringkat negara supaya ianya membuka mata banyak pihak terutamanya pihak KBS serta swasta.

"Keduanya, diharap pihak berwajib sebagai contoh KBS, MSN, Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) dan sebagainya dapat melihat bakat adik Annas Farish dan juga bakat-bakat lain supaya dapat di ketengahkan dan diberi peluang yang sepatutnya.

"Ketiga, saya harap keluarga adik Annas Farish tidak berputus asa untuk mencari penaja bagi membantu perjalanan kariernya. Dalam sukan tenis, untuk pergi jauh, pada pendapat saya dia perlu berkelana di luar negara.

"Diharap ada yang sudi membantu kariernya berlatih di luar negara di tempat yang sepatutnya dan juga saya doakan supaya dia dapat biasiswa untuk menyambung pembelajaran serta meneruskan karier tenis seperti beberapa atlet kita dalam sukan renang dan skuasy (berlatih dan menyambung pelajaran).

"Ini antara ujian besar untuk berjaya dalam sukan dan saya harap adik Annas Farish serta keluarga terus kekalkan momentum dan tidak berputus asa," kata Azizulhasni.

Disiarkan pada: October 13, 2020 @ 9:22pm
d