arena

Sanusi pertimbangan rayuan KFA

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Muhammad Sanusi Md Nor akan mempertimbangkan semula keputusannya untuk meletak jawatan melalui surat yang dibuat pada 25 September lalu di mana peletakan jawatan berkenaan akan berkuatkuasa mulai esok.

Beliau bersama beberapa kepimpinan baharu yang dilantik sejak 12 Julai lalu bekerja keras untuk menyelesaikan segala masalah hutang tertunggak KFA sebelum ini mendapat rayuan oleh pengurusan KFA mahu beliau mengekalkan jawatan selaras dengan usaha cemerlang dihasilkan.

"Peletakan jawatan itu saya tulis dalam surat berkenaan berkuatkuasa pada 15 Oktober, hari ni 14 Oktober, dan esok akan berkuatkuasa pada pukul 12.01 minit pagi.

"Oleh kerana KFA ada menolak (peletakan jawatan) itu, dan ada pihak lain juga datang berjumpa saya, maka saya akan mempertimbangkan keperluan yang mana lebih baik, sama ada saya berundur atau saya kekal, dan esok (keputusan) akan dibuat." katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman sebentar tadi.

Mengulas lanjut Sanusi juga berkata, mengikut perancangan, sebenarnya beliau mahu menyelesaikan segala masalah hutang yang dialami KFA melebihi RM10 juta ini terlebih dahulu, menjelang hasrat persaraannya.

"Sebenarnya saya nak selesaikan segala masalah yang ada menjelang persaraan saya dengan KFA dan kalau tak selesai, saya tak bersara. InsyaAllah esok akan selesai hutang semuanya.

"InsyaAllah besok akan selesai dan tinggal hari ini 14 haribulan, saya dah cari RM6.7 juta untuk selesaikan hutang yang tertangguh, jadi ada dalam RM 8 juta lebih kurang, InsyaAllah esok selesai.

"Bayaran itu termasuk tunggakan bulan April, Mei dan Jun dan juga tunggakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), ejen pelancongan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) banyak...dan ini boleh tanya Bendahari KFA." katanya.

Sanusi juga memaklumkan tunggakan semasa sejak kepimpinan beliau mengambil alih pentadbiran KFA membabitkan bulan Jun termasuk bulan Julai, Ogos, September dan sebahagian dari badan berkanun juga selesai.

Disiarkan pada: October 14, 2020 @ 6:13pm
d