arena

Sanusi tabik pemain Kedah

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar : Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Muhammad Sanusi Md Nor meluahkan rasa bangga dengan pencapaian yang diraih skuad Lang Merah apabila mengakhiri musim Liga Super di tangga kedua musim ini dan seterusnya layak beraksi di kejohanan Piala Asia musim depan.

Di sebalik berbagai dugaan dan masalah berkaitan tunggakan gaji yang dihadapi skuad Kedah, katanya pasukan bimbingan Aidil Sharin Sahak ini tetap tampil dengan penuh semangat bagi membuktikan nama pasukan Kedah terus berada pada kedudukan antara tertinggi di persada Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Sebaik tamat perlawanan menentang Perak di Stadium Perak Ahad lalu, semua pemain dilihat memberi tabik hormat kepadanya yang turut hadir memberi semangat semasa menyaksikan perlawanan Liga Super yang berkesudahan dengan kemenangan 3-2.

"Sebelum perlawanan berlangsung pada petang itu, saya buat pertemuan dengan semua pemain dan saya juga 'salute' (tabik) dengan semua pemain sebab isu-isu serta masalah-masalah hutang tak bayar, gaji tertangguh semua ini tidak menjejas permainan mereka di padang.

"Sebenarnya saya tabik mereka dulu sebab para pemain ini cukup profesional. Segala isu di luar padang tak langsung menjejaskan prestasi mereka dan saya ucapkan terima kasih kepada semua pemain yang mahu berjuang bersungguh-sungguh untuk memburu kejayaan.

"Sebab itu sebaik sahaja tamat perlawanan, mereka pula tabik semula pada saya. Saya memang hormati semangat perjuangan yang ditunjukkan mereka," katanya.

Sanusi yang memaklumkan penyelesaian isu tunggakan gaji yang ditanggung KFA selama ini bakal diselesaikan esok seperti disasarkannya sebelum ini, juga berkata semangat serta sikap profesionalisme yang ditunjukkan oleh jurulatih dan semua pemain Kedah begitu membanggakan.

"Mereka profesional, masuk padang mereka bermain sampai menang, saya 'salute' semua pemain dan oleh kerana saya 'salute' mereka petang, malam mereka pula 'salute' saya balik." katanya.

Kedah bakal memulakan kembali latihan pasukan esok sebagai persiapan memulakan saingan Piala Malaysia yang dijadualkan semula pada 6 November depan.

Disiarkan pada: October 14, 2020 @ 10:44pm
d