arena

England tewas kali pertama

Oleh AFP

London: Gareth Southgate memberi amaran kepada England agar mengambil iktibar kesalahan disiplin yang dilakukan namun memberi 'sokongan penuh' kepada Harry Maguire yang dibuang padang ketika tewas 0-1 kepada Denmark, hari ini.

Skuad bimbingan Southgate tewas kali pertama pada tahun ini selepas Maguire dibuang padang sebaik menerima kad kuning kedua pada babak pertama sebelum sepakan penalti Christian Eriksen menyaksikan Denmark meraih tiga mata penuh di saingan Liga Negara-negara UEFA.

Mengukuhkan lagi kesukaran Southgate mengawal barisan pemainnya apabila pertahanan Chelsea, Reece James yang melakukan penampilan pertama untuk England turut dibuang padang pada hujung perlawanan selepas bertengkar bersama pengadil, Jesus Gil.

Selepas Kyle Walker turut dilayangkan kad merah ketika bertemu Iceland bulan lalu, England kini mempunyai tiga pemain yang sudah dibuang padang.

Isu kad merah itu ditambah masalah di luar padang terutama membabitkan Maguire yang dipenjara 21 bulan 10 hari selepas didapati bersalah melakukan cubaan rasuah dan keganasan terhadap pekerja awam di Pulau Mykonos, Ogos lalu.

Kemudian Phil Foden dan Mason Greenwood di hantar pulang ketika pertemuan dengan Iceland kerana melanggar protokol pandemik Covid-19 apabila membawa wanita ke hotel mereka.

"Ya, terdapat perkara yang tidak betul dilakukan oleh pemain. Kami mengambil berat semuanya.

"Kami perlu ambil pengajaran semua ini. Jika anda beraksi dengan 10 pemain, ia bermakna keputusan tak memihak kepada anda terutama sekali jika itu berlaku di pertengahan saingan.

"Kami sentiasa membincangkan soal isu disiplin kerana kami sedar ia akan memberi kesan besar dalam kejohanan ini.

"Untuk Maguire, dia adalah pemain utama dan kami sentiasa memberi sokongan serta kepercayaan penuh kepadanya," katanya.

Disiarkan pada: October 15, 2020 @ 7:48am
d