arena

Rachel tak boleh lepas tangan

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Rachel Lau perlu menyelesaikan semua permasalahan berbangkit sebelum meletakkan jawatan.

Keputusannya untuk tidak bertanding pada penggal akan datang bukan jalan penyelesaian terbaik kerana beliau hanya akan meninggalkan masalah pada pengurusan seterusnya.

Itu pandangan Naib Presiden Persatuan Gimnastik Kumpulan Estetik Malaysia (MAGGA), Datuk Radha Krishnan yang nyata kecewa kerana hingga sekarang ia belum nampak ada titik noktah terhadap kemelut MGF.

Masalah dalaman MGF sampai ke kemuncaknya selepas tujuh ahli gabungan menyatakan usul hilang kepercayaan terhadap Rachel kerana mendakwa bekas gimnas kebangsaan itu menyalah guna kuasa serta gagal menguruskan MGF dengan baik dan berkesan.

Tujuh ahli gabungan itu adalah Pulau Pinang, Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Sarawak, Melaka dan Terengganu.

Sebagai seorang yang dekat dengan gimnastik dan sentiasa memberi sokongan dan bantuan kepada badan induk sejak 1989, Radha mahukan campur tangan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sekiranya tiada jalan penyelesaian.

''Saya sudah lama dan dekat dengan MGF sejak 1989 lagi. Memberi bantuan kepada mereka menyokong dari segi barang keperluan dan pelbagai lagi. Masalah ini tidak berlaku ketika kepimpinan sebelum ini.

''Jadi kenapa sekarang boleh jadi macam ini. Rachel perlu bertanggungjawab dengan apa yang berlaku. Kenapa ada ahli gabungan yang menyuarakan rasa tidak puas hati mereka kepada kepimpinannya. Ini semua kerana sikapnya.

''Dia (Rachel) perlu menjernihkan semuanya kerana dia yang menyebabkan kekeruhan ini berlaku. Sebelum dia letak jawatan atau menyerahkan jawatanya dia perlu selesaikan,'' katanya yang juga Pengarah Urusan Universal Fitness & Leisure (UFL) Sdn Bhd.

Terdahulu tujuh ahli gabungan itu dilaporkan menyerahkan surat ditandatangani perwakilan negeri kepada Setiausaha Kehormat MGF, Afrita Ariany Nasril bagi menggesa diadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) secepat mungkin.

Rachel dilantik sebagai presiden MGF untuk penggal 2019-2021 pada Februari tahun lalu apabila menang tanpa bertanding selepas bekas presiden Datuk Jaya Al Bakri tidak mempertahankan jawatannya.

Disiarkan pada: October 15, 2020 @ 9:09pm
d