arena

Kuala Lumpur lebih gagah musim depan

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Enggan sejarah lalu berulang, skuad Kuala Lumpur bakal tampil lebih meyakinkan pada saingan Liga Super musim depan dengan melakukan rombakan besar terhadap hampir keseluruhan pasukan itu.

Rombakan terbabit termasuk mahu mendapatkan khidmat jurulatih baru bagi memastikan pasukan terbabit tidak lagi menghuni tangga bawah liga seperti sebelum ini.

Malah, pengurusan skuad The City Boy itu dikatakan ketika ini sedang mengintai untuk menggunakan khidmat jurulatih asing bagi mengendalikan pasukan berkenaan selain turut mengambil beberapa pemain yang ada nama nanti.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) Nokman Mustaffa berkata, pihaknya sudah serik untuk hanya menghuni tangga bawah Liga Super selain gagal memberi tentangan sengit kepada pasukan lawan.

''Sudah tentu kita akan membuat rombakan terhadap pasukan dengan mengambil jurulatih baharu yang mampu melakukan perubahan kepada pasukan.

''Pada masa sama, kita juga akan mengambil pemain baharu termasuk awing import yang berkualiti dan tidak memberikan masalah kepada pasukan.

''Perkara terbabit perlu dilakukan sekarang memandang Kuala Lumpur sudah sah naik takhta ke Liga Super,'' katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Mengikut rekod, skuad Kuala Lumpur pada musim 2019 boleh dikatakan agak bernasib malang apabila menjadi pasukan yang disingkirkan ke Liga Premier selepas menghuni tangga tercorot Liga Super.

Namun, pasukan terbabit cemerlang beraksi di Liga Premier untuk musim 2020 sekali gus mengiringi Pulau Pinang untuk beraksi di liga utama musim depan.

Sementara itu, Nokman berkata, pengendali Kuala Lumpur ketika ini Mohd Nidzam Adzha Yusoff cukup cemerlang mengendalikan pasukan berkenaan hingga mampu mencipta pelbagai kejayaan seterusnya menempah slot ke Liga Super.

''Namun, Nidzam tidak memiliki lesen A sebagai jurulatih sekali gus kami terpaksa mencari jurulatih lain bagi menggantikan beliau.

''Selain itu, tidak semua pemain kita akan tukar walaupun terdapat beberapa daripada mereka digelar 'kuda tua' namun prestasi masih cemerlang dan mampu mengemudi pasukan dengan baik,'' katanya.

Disiarkan pada: October 15, 2020 @ 10:20pm
d