arena

Roshadi puas TFC II capai KPI

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: "KPI (petunjuk prestasi utama) pasukan kami tercapai," kata ketua jurulatih pasukan Terengganu FC II (TFC II), Roshadi Wahab.

Beliau berkata demikian selepas pasukannya kini menghuni di kedudukan kedua Liga Perdana walaupun belum muktamad kerana perlu menanti pertemuan terakhir Kuala Lumpur menentang Kuching FA yang ditangguhkan susulan penularan wabak pandemik Covid-19.

Roshadi menyifatkan kejayaan pasukannya yang dibarisi pemain muda adalah hasil usaha keras mereka bermula dari awal musim lagi selain sokongan padu daripada pihak pengurusan dan tidak ketinggalan peminat setia pasukan The Turtles itu.

Pada aksi terakhir bertemu juara Liga Perdana, Pulau Pinang Jumaat lalu, skuad The Turtles berjaya melebur rekod tanpa kalah Harimau Kumbang itu selepas menang 1-0 hasil jaringan Jordan Mintah.

Bekas pertahanan Terengganu itu menjelaskan, berada dalam kelompok tiga terbaik liga itu sudah cukup bermakna buat pasukan.

"Buat masa ini saya belum memikirkan lagi perancangan untuk tahun depan, tapi saya masih mengharapkan pemain yang ada sekarang ini kekal bersama pasukan TFC II kerana mereka boleh pergi jauh, lagipun masih muda.

"Mengenai kontrak saya pula musim depan, sememangnya saya serahkan sepenuhnya kepada pihak pengurusan untuk membuat keputusan, lagipun setakat ini belum ada sebarang makluman lagi berhubung perkara itu kerana kontrak saya hanya semusim sahaja.

"Harapan saya sudah tentu mahu kekal membimbing pasukan ini (TFC II) musim depan lebih-lebih lagi KPI saya sudah tercapai kerana dari awal lagi pihak pengurusan menyasarkan kedudukan ketiga terbaik liga.

"Tambahan pula setakat ini belum ada lagi pasukan yang merisik untuk mendapatkan khidmat saya," katanya yang mengakui bonus jika pasukannya kekal ditangga kedua liga.

Disiarkan pada: October 15, 2020 @ 10:58pm
d