arena

Quartararo sasar podium GP Aragon

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Pelumba pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) Fabio Quartararo yakin pemilihan tayar yang sesuai dan litar kering akan memberi kelebihan kepadanya untuk menamatkan perlumbaan di podium pada Grand Prix (GP) Aragon hujung minggu ini di Litar Aragon, Sepanyol.

Pelumba dari Perancis itu berkata pasukannya menghadapi masalah tayar belakang serta keadaan litar yang basah ketika berlumba di Litar Le Mans, GP Perancis baru-baru ini yang menyaksikan dia hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan, sementara rakan sepasukan Franco Morbidelli terkeluar daripada perlumbaan selepas menghadapi masalah teknikal.

"Pada perlumbaan pertama kami itu, saya dan pasukan belajar banyak perkara untuk kami meningkatkan prestasi jentera.

Tentu sahaja saya mahukan keadaan kering, tetapi dalam mana-mana perlumbaan kejuaraan, kita terpaksa hadapi apa juga keadaan, justeru boleh dikatakan saya gembira dengan prestasi saya," katanya pada sidang media pra perlumbaan.

Quartararo, 21, yang masih mendahului kedudukan keseluruhan Kejuaraan Dunia MotoGP dengan 115 mata selepas 10 perlumbaan, juga menegaskan persaingan merebut kejuaraan dalam kalangan pelumba musim ini masih terbuka luas berikutan penularan wabak Covid-19.

"Dalam tahun yang tidak menentu ini, apa sahaja boleh berlaku. Saya berasa yakin dan hebat ketika menunggang, justeru saya akan lakukan yang terbaik untuk hasilkan keputusan terbaik pada perlumbaan hujung minggu ini di Aragon," katanya.

Quartararo yang lebih dikenali sebagai 'El Diablo' mempamerkan prestasi hebat musim ini apabila berjaya memulakan perlumbaan di posisi pertama sebanyak empat kali.

Selain memenangi tiga perlumbaan berturut-turut di GP Sepanyol dan GP Andalusia di Litar Jerez, serta GP Catalunya di Litar Catalunya-Barcelona, Sepanyol.

Disiarkan pada: October 16, 2020 @ 6:33pm
d