arena

Penundaan Piala Malaysia legakan Pahang

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Skuad Pahang yang berdepan krisis kecederaan membabitkan enam pemainnya lega apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menunda kempen Piala Malaysia dari 25 Oktober kepada 6 November depan, susulan peningkatan kes Covid-19.

Pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, ia memberi peluang kepada pemain yang berdepan masalah kecederaan untuk kembali pulih dan cergas sebaik saingan piala berprestij itu bermula nanti.

"Pada perlawanan terakhir Liga Super yang lalu, kita terpaksa menggunakan khidmat pemain tempatan dan muda ketika berdepan Terengganu FC disebabkan kecederaan dialami pemain utama.

"Apabila MFL memutuskan saingan Piala Malaysia ditunda, ia cukup melegakan kerana percaya pemain yang berdepan masalah kecederaan akan cepat pulih dan benar-benar cergas.

"Pada masa sama, jurulatih (Dollah Salleh) dapat menyenaraikan kesebelasan terbaik pada saingan piala berprestij itu," katanya.

Enam pemain Tok Gajah yang mengalami kecederaan ialah Dickson Nwakaeme yang juga kapten pasukan, Herold Goulon, Adam Reed, R Dinesh, Faisal Abdul Halim dan Zuhair Aizat Nazri.

MFL sebelum ini memutuskan menunda kempen Piala Malaysia dari 25 Oktober ke 6 November ini susulan keputusan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Sabah bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 16, 2020 @ 7:01pm
    d