arena

MyBorneo E-Force medan beradu kekuatan

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Tiga negara di kepulauan Borneo yang terdiri daripada Malaysia, Brunei dan Kalimantan Indonesia bakal beradu kehebatan dengan menyertai kejohanan Jemputan MyBorneo E-Force (M2020) yang membuka tirainya hari ini hingga 8 November ini.

Empat kategori permainan dipertandingkan iaitu PlayerUnknown's Battlegrounds (PUBG) Mobile bermula hari ini sehingga 18 Oktober sebelum diikuti MotoGP PC dari 23 Oktober hingga 25 Oktober.

Sementara itu bagi permainan Dota2 ia dijadualkan bermula dari 23 Oktober hingga 1 November sebelum diakhiri dengan saingan Mobile Legend:Bang Bang (MLBB) dari 6 hingga 8 November.

"Saya dimaklumkan, kejohanan ini mendapat sambutan yang cukup hangat apabila pendaftaran bagi kategori PUBG Mobile saja sudah mencapai jumlah maksimum iaitu 256 pasukan dalam masa dua hari selepas pendaftaran dibuka," kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam ucapan perasmian kejohanan dalam satu majlis secara virtual.

Menurutnya, kejohanan berkenaan adalah 'model penganjuran' yang cukup istimewa.

"Kejohanan ini boleh dijadikan penanda aras di atas beberapa sebab yang boleh saya simpulkan iaitu yang pertama, wujudnya kerjasama cukup erat dalam kalangan semua pemegang taruh.

"Pembabitan kerajaan persekutuan iaitu KBS melalui jabatan belia dan sukan negara; kerajaan negeri melalui sokongan dan komitmen Datuk Abdul Karim Hamzah (Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, dan Menteri Belia dan Sukan Sarawak) Datuk Snowdan Lawan (Menteri Muda Pelancongan Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak).

"Pihak swasta iaitu Serba Dinamik I.T dan kehadiran peminat sukan e-sports keseluruhannya, menjadikan kejohanan ini berada di tahap yang cukup istimewa.

"Kedua, pembabitan peminat e-sports secara rentas negara ini juga sesuatu yang cukup istimewa. Pembabitan rakan-rakan dari Brunei dan Indonesia akan memeriahkan dan memberikan persaingan sihat kepada kejohanan ini.

"E-sports ini juga boleh dijadikan sebahagian daripada elemen pelancongan sukan; seandainya ia dipakejkan dengan baik dan berkesan," katanya.

Disiarkan pada: October 16, 2020 @ 7:15pm
d