arena

Isu Stadium Hoki KL selesai

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi lampu hijau kepada Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) untuk terus beroperasi di stadium keramat hoki ibu kota itu sekali gus menyelesaikan isu berkaitan pengurusan Stadium Hoki Kuala Lumpur.

Apa yang menarik mereka diberikan tawaran untuk menduduki ruang premis pejabat di stadium berkenaan secara percuma menerusi tiket 'Bantuan Rumah Sukan DBKL' dengan kontrak selama setahun bermula 15 September lalu.

Menurut Presiden PHKL, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, bagi menghargai kerjasama baik DBKL, PHKL akan membuat satu majlis perasmian dalam masa terdekat.

"Ini adalah hadiah istimewa untuk PHKL kerana kami dapat menduduki secara percuma, ini yang kami usahakan selama ini. Ia adalah hadiah untuk semua warga hoki Kuala Lumpur," katanya.

Menurutnya, dalam tempoh terdekat mereka akan melakukan pelancaran pejabat baharu PHKL.

"Terima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan, DBKL dan Kelab Sukan DBKL," katanya.

Khabar gembira itu hadir selepas beberapa bulan isu berkenaan berlarutan termasuk menyaksikan PHKL diminta mengosongkan pejabat pada Jun lalu.

Bercakap mengenai kontrak setahun Megat D Shariman berkata, ia adalah Prosedur operasi standard (SOP) biasa DBKL terhadap mana-mana premis milik mereka dengan lanjutan kontrak akan dibincangkan bergantung kepada keadaan premis berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan pelancaran Liga Hoki Kuala Lumpur 2020 mungkin sedikit lewat daripada perancangan asal akibat daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya serta Selangor.

"Semuanya kini bergantung kepada jumlah kes wabak Covid-19, kalau kes terus tinggi mungkin saingan bermula sedikit lewat. Apapun sebaik berakhir PKPB ini, PHKL akan memulakan urusan pendaftaran pasukan supaya kami boleh membuat persiapan awal dan mendapat gambaran jumlah pasukan.

"Ia sama juga untuk Liga Hoki Dalam Dewan Kuala Lumpur. Kami mencontohi apa yang dibuat Konfederasi Hoki Malaysia (MHC)," katanya.

Disiarkan pada: October 16, 2020 @ 7:33pm
d