arena

Man United lanjutkan kontrak Pogba

Oleh AFP

London: Manchester United menawarkan pilihan lanjutan setahun lagi dalam kontrak Paul Pogba bagi membolehkan pemain tengah Perancis itu kekal di Old Trafford sehingga 2022.

Kontrak Pogba dijangka berakhir hujung musim ini dan kemudian timbul spekulasi dia mungkin akan meninggalkan United apabila mengakui masih berminat beraksi bersama Real Madrid.

Bagaimanapun berdasarkan laporan, United sudah mengambil langkah untuk memastikan Pogba kekal sekurang-kurangnya sehingga hujung musim depan dengan mengambil kesempatan terhadap klausa sambungan kontrak pemenang Piala Dunia itu.

United belum mengumumkan lanjutan kontrak itu namun pengurus, Ole Gunnar Solskjaer sudah menyatakannya pada sidang media.

"Paul adalah pemain kami, dia akan kekal di sini untuk dua tahun lagi dan saya yakin dia kekal fokus dan melakukan yang terbaik untuk kami.

"Jadi dalam tempoh beberapa tahun lagi, saya pasti dia berada pada prestasi terbaik," katanya.

Pogba kembali menyertai United dari Juventus menerusi rekod perpindahan dunia pada 2016 namun dia bergelut dengan kecederaan dan prestasi tidak konsisten sepanjang beraksi di Liga Perdana Inggeris.

Dia hanya melakukan 22 penampilan pada musim lalu selepas bergelut dengan kecederaan buku lali selain mempamer aksi hambar ketika United tewas dua perlawanan daripada tiga aksi awal liga.

Disiarkan pada: October 17, 2020 @ 8:19am
d