arena

Tempat Bale belum terjamin

Oleh AFP

London: Gareth Bale dijangka diturunkan buat kali kedua bersama Tottenham apabila bertemu West Ham esok namun Jose Mourinho mendakwa tempat bintang Wales itu belum terjamin ketika beliau mengagumi mempunyai barisan pemain terbaik.

Bale kembali ke kelab Utara London itu selepas dipinjamkan selama semusim dari Real Madrid selepas tujuh tahun melalui prestasi turun naik bersama gergasi Sepanyol itu.

Dia menjaringkan gol di dua final Liga Juara-Juara ketika Madrid memenangi saingan itu empat kali sepanjang lima musim pertamanya bersama kelab itu.

Namun prestasi Bale juga menerima banyak kritikan selepas bergelut dengan kecederaan dan mengambil masa menyesuaikan diri dengan kehidupan di Sepanyol.

Persoalan timbul sama ada Bale mampu menyinar di Spurs kerana di sebalik mempamerkan prestasi memberangsangkan sejak beberapa tahun lalu, Tottenham masih gagal memenangi sebarang trofi sejak 2008.

"Kami mempunyai skuad di mana setiap pemain perlu bersaing dan beraksi sebaik mungkin untuk mendapat tempat di dalam pasukan.

"Skuad kali ini sangat kuat. Kami mempunyai banyak pilihan dan saya tidak boleh katakan ada pemain yang menjadi pilihan utama.

"Saya dapat merasakan perasaan pemain. Mereka gembira tapi pada masa sama berasa bimbang.

"Mereka gembira kerana skuad sangat bagus dan ada pemain yang hadir untuk menjadikan skuad lebih baik.

"Tapi pada masa sama mereka bimbang terhadap diri masing-masing dengan persoalan sama ada dapat beraksi atau tidak untuk kelab," kata Mourinho.

Disiarkan pada: October 17, 2020 @ 10:35am
d