arena

Undur diri saja - Ging Sung

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Jika sudah tujuh ahli gabungan hilang kepercayaan adalah lebih baik presiden undur diri dan memberi laluan kepada individu yang layak.

Itu antara perkara yang diluahkan oleh ahli gabungan Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) yang mahukan presidennya Rachel Lau undur diri bagi menyelesaikan kemelut yang melanda persatuan terbabit.

Presiden Persatuan Gimnastik Pulau Pinang, Datuk Tan Ging Sung berkata, tindakan mengemukakan usul hilang kepercayaan terhadap Rachel bukanlah dilakukan secara terburu-buru namun ia adalah perkara terakhir dilakukan bagi menyelesaikan kemelut yang melanda persatuan.

Katanya, beliau bersama wakil ahli gabungan lain sudah berbincang dan tindakan terbabit dilakukan demi menyelamatkan MGF daripada terus 'musnah'.

"Perkara terbabit sudah mendapat persetujuan majoriti ahli gabungan dan mahukan perubahan dalam MGF membabitkan pucuk pimpinan.

"Kami mahu menyelamatkan MGF daripada rosak dan berharap Rachel menerima keputusan terbabit dan bersedia undur diri," katanya, ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan Naib Presiden Persatuan Gimnastik Kumpulan Estetik Malaysia (MAGGA), Datuk Radha Krishnan kecewa kerana hingga sekarang ia belum nampak ada titik noktah terhadap kemelut MGF dan menggesa Rachel perlu menyelesaikan semua permasalahan berbangkit sebelum meletakkan jawatan.

Masalah dalaman MGF sampai ke kemuncaknya tujuh ahli gabungan menyatakan usul hilang kepercayaan terhadap Rachel kerana mendakwa bekas gimnas kebangsaan itu menyalahguna kuasa serta gagal menguruskan MGF dengan baik dan berkesan.

Tujuh ahli gabungan itu adalah Pulau Pinang, Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Sarawak, Melaka dan Terengganu.

Disiarkan pada: October 17, 2020 @ 7:55pm
d