arena

Hak penyiaran naikkan nilai Liga M

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Sudah tiba masanya Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengembalikan hak penyiaran kepada stesen televisyen bagi meraih pendapatan lebih lumayan sekali gus meningkatkan nilai Liga Malaysia (Liga M) dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Malah ia dipersetujui oleh beberapa pasukan Liga M yang mahu melihat nilai liga domestik meningkatkan setiap tahun.

Ketika ini, hak siaran Liga-M dipegang oleh syarikat telekomunikasi negara, Telekom Malaysia Berhad (TM) yang menjadi penaja utama bagi saingan Piala Malaysia dan sebagai penaja bersama untuk Liga Super, Liga Perdana, Piala FA dan Piala Cabaran.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa berkata, nilai tajaan membabitkan hak penyiaran adalah kunci utama kepada nadi perjalanan sesebuah pasukan.

Katanya, beberapa liga di luar negara berjaya meningkatkan nilai adalah kerana perjanjian hak penyiaran yang diterima cukup lumayan.

Justeru, MFL disaran supaya mencari peluang-peluang baharu yang dilihat lebih menguntungkan semua pihak terutama bagi setiap pasukan yang beraksi dalam Liga M.

"Saya bersetuju bahawa hak penyiaran adalah perkara penting dalam membantu setiap pasukan. Untuk tingkatkan nilai ini susah lebih-lebih kalau kita hanya tertumpu siaran dalam negara saja.

"Tetapi kalau dapat dijual kepada negara-negara luar saya rasa nilai liga kita akan melonjak naik dan boleh mendapat keuntungan yang besar.

"Apabila nilai liga kita meningkat, yang akan terima tempiasnya pasukan-pasukan juga. Maknanya pasukan juga akan dapat dana yang lebih besar daripada penganjur liga sekali gus kita boleh menyiapkan pasukan yang bagus dan secara tak langsung kualiti liga turut meningkat," katanya kepada Arena Metro, semalam.

Untuk rekod, MFL mengikat kontrak selama tiga tahun dengan TM dan nilai sebenar tajaan tidak didedahkan. Bagaimanapun difahamkan, nilai tajaan sekitar RM30 juta untuk tempoh ikatan perjanjian itu.

Kelmarin, menerusi laporan khas akhbar ini, beberapa pakar ekonomi negara membayangkan Liga M boleh mencecah 1 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang sekiranya semua kelab bergerak secara profesional dan ekosistem industri bola sepak berada pada senario yang harmoni.

Bagaimanapun, perancangan berkenaan boleh terganggu sekiranya salah satu daripada empat komponen iaitu hak penyiaran, penaja, jualan tiket perlawanan dan cenderamata tidak bergerak atau terhalang ekoran ekosistem yang tidak sihat boleh membawa masalah kepada sesebuah liga.

Sementara itu, salah seorang pemilik kelab Liga Perdana, UKM FC, Sulaiman Hussin berkata, pihaknya bersetuju jika siaran Liga M dikembalikan kepada stesen televisyen sama ada stesen kerajaan mahupun swasta.

Katanya, ia penting bagi merancakkan suasana dan keghairahan peminat bola sepak yang diakui cukup ramai di negara ini.

"Bila sudah diswastakan (semua pasukan bergerak secara FC), MFL dan FAM kena memantapkan plan strategi pemasaran mereka bagi mendapatkan lebih lagi sumber-sumber tajaan syarikat penyiaran yang besar.

"Contoh macam Astro RTM dan TV3. Jadi kalau tiga-tiga stesen televisyen ini menyiarkan setiap minggu perlawanan bola sepak di semua peringkat iaitu di peringkat Liga Super hingga Liga Perdana, saya rasa lama-lama ia akan beri keuntungan semula pihak yang menaja.

"Ia suatu cadangan yang baik namun sebagai pasukan kita berikan segala kepercayaan kepada MFL untuk fikirkan perkara ini," kata Sulaiman.

Disiarkan pada: October 17, 2020 @ 11:45pm
d