arena

Real, Barcelona malu besar

Oleh AFP

Madrid: Real Madrid dan Barcelona akan bertemu pada aksi 'Clasico' minggu depan dengan rekod kekalahan selepas kedua-dua gergasi La Liga itu dihukum berikutan prestasi hambar.

Zinedine Zidane melakukan empat pertukaran selepas berakhir separuh masa pertama namun tidak dapat membantu Real mengelak daripada tewas 0-1 kepada pasukan yang baru dinaikkan ke La Liga, Cadiz.

Kemudian dua jam kemudian, rakan sejawatnya di Barcelona, Ronald Koeman merasai kekalahan pertama apabila tewas 0-1 di tangan Getafe pada perlawanan yang berlangsung di Coliseum Alfonso Perez.

Prestasi Real agak membimbangkan apabila juara bertahan itu hanya dapat melakukan dua cubaan tepat ketika bertemu Cadiz yang dilihat mampu menjaringkan lebih banyak gol selepas jaringan awal Anthony Lozano.

Barca juga hambar apabila Lionel Messi gagal memainkan peranannya dan pasukan tidak mampu bangkit selepas sepakan penalti Jaime Mata menyaksikan Getafe di depan pada separuh masa kedua.

Real berdepan masalah kecederaan membabitkan Sergio Ramos yang menghabiskan masanya pada separuh masa kedua di bangku simpanan kerana kecederaan lutut kiri.

"Harap ia adalah kecederaan ringan. Kami akan meihat perkembangan seterusnya," kata Zidane.

Berhubung kekalahan anak buahnya, Zidane berkata: "Tiada apa yang dapat dijelaskan. Jika mereka dapat menjaringkan dua atau tiga gol pada separuh masa pertama, keputusan mungkin berbeza."

Musim ini adalah penampilan pertama Cadiz di La Liga selepas 14 tahun dan meraih kemenangan pertama ke atas Real.

Disiarkan pada: October 18, 2020 @ 9:47am
d